Sunday, November 9, 2008

Terusik oleh Obama

Fenomena Obama memang hebat. Bukan hanya di Amerika, malah di seluruh dunia ramai yang bersorak, menari-nari dan mengalirkan airmata kegembiraan. Kejayaan Obama menjadi Presiden kulit hitam yang pertama buat Amerika adalah satu detik besar dalam sejarah manusia. Sejarah yang dahulunya menjadi saksi bagaimana orang-orang kulit hitam dibawa masuk dari Afrika sebagai hamba abdi di ladang-ladang orang kulit putih.


Datuk nenek Obama bagaimanapun tidak pernah dijadikan hamba dibumi Amerika. Bapanya, Barack Hussein Obama berasal dari Kenya dan pernah menyertai rancangan pertukaran pelajar di Hawaii dimana dia bertemu dan berkahwin dengan ibu Obama, Ann Dunham seorang wanita kulit putih yang berasal dari Kansas. Obama yang baru berusia 2 tahun dan ibunya telah ditinggalkan bapa Obama yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Harvard. Bapa Obama kemudian lansung pulang ke Kenya meninggalkan Obama hanya berbekalkan impian dari seorang ayah.


Ibu Obama berkahwin lagi dengan Lolo Soetoro, seorang warga Indonesia. Hasil perkahwinan itu, Obama mendapat seorang adik tiri bernama Maya Soetoro. Obama pernah tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Jakarta untuk beberapa tahun. Namun demi pelajaran dan masa depannya, ibu Obama telah menghantar Obama untuk kembali menetap di Hawaii bersama neneknya. Obama seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Columbia sebelum diterima menuntut dalam jurusan Undang-Undang di Universiti Harvard, salah sebuah universiti terunggul di dunia.


Obama bertemu joduhnya, Michelle Robinson seorang peguam kulit hitam lulusan Universiti Harvard juga, semasa mereka sama-sama berkhidmat di sebuah firma guaman, Sidley Austin. Pasangan Pertama kulit hitam yang akan menghuni Rumah Putih ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Sasha dan Malia. Pada usia yang muda, 47 tahun, masa depan dunia untuk tahun-tahun mendatang ini akan banyak bergantung kepada tindak tanduknya selaku Presiden Amerika.


Kisah Obama bukan sekadar satu kemenangan peribadi. Ia juga adalah riwayat kejayaan sebuah bangsa. Bangsa Amerika. Sejarah menceritakan bagaimana ramai dari rakyat Amerika yang berasal dari Kepulauan British. Mereka berhijrah ke Dunia Baru mencari penghidupan yang lebih baik. Namun selain Kepulauan British, ramai juga rakyat kulit putih Amerika yang berasal dari Belanda, Peranchis, Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia, Hungary, Austria dan dari merata tempat lain di Eropah.


Sejarah juga menceritakan bagaimana orang-orang Negro dari benua Afrika dibawa masuk ke Amerika sebagai hamba abdi. Harini, selain anak cucu orang-orang kulit hitam ini, terdapat ramai juga rakyat Amerika yang berasal dari Mexico, Cuba, dan negara-negara Latin Amerika lainnya. Tidak kurang juga rakyat Amerika yang berasal dari Israel, negara-negara Arab di Timur Tengah, Jepun, India, Cina dan negara-negara lain di Asia. Mereka juga datang ke Amerika mencari satu penghidupan baru.


Sebaik sahaja mereka berhijrah dan diterima menjadi rakyat Amerika, mereka menerima bahasa Inggeris di rumah, di sekolah dan di tempat kerja sebagai bahasa mereka. Kelompok masyarakat Amerika yang berbeda keturunan ini mempunyai kelaziman dan pantang larang masing-masing. Mereka masih berbangga dengan budaya yang mereka warisi dari negara asal mereka. Umpamanya warga Amerika keturunan Cina dan Jepun masih mengamalkan seni beladiri seperti Kung Fu, Judo dan Karate dan malah membuka pusat-pusat latihan untuk mengajar seni beladiri ini.

Dari warisan budaya asal mereka, identiti kelompok masyarakat Amerika ini memang mudah dikenali. Bagaimanapun, warisan budaya asal ini tidak menjadikan mereka sebuah masyarakat serpihan dari satu tamadun luar dan asing. Ciri budaya asal ini hanyalah ibarat saliran-saliran kecil yang kemudian mengalir kepada sungai budaya Amerika yang lebih besar dan mempengaruhi dalam kehidupan bermasyarakat. Hasilnya rakyat Amerika lebih berbangga dan mahu dikenali sebagai Bangsa Amerika sementara asal usul dan warna kulit sekadar kenangan dari sejarah lampau.


Nama-nama besar yang mewarnai kejayaan Amerika dalam pelbagai bidang seperti Muhammad Ali, Bruce Lee, Henry Kessinger, Tiger Wood, Arnold Schwarzenegger, Elvis Presley, Albert Einstein, Henry Ford, John F. Kennedy dan ramai lagi merupakan testimoni bahawa pembinaan Bangsa Amerika telah berjaya menghasilkan semangat cintakan bangsa dan negara yang merentasi soal kaum atau keturunan. Prosess pembinaan bangsa di Amerika tidaklah mudah atau berlaku dengan sekelip mata.


Sejak George Washington memproklamir kemerdekaan Amerika daripada Britain pada tahun 1776, pembinaan Bangsa Amerika telah melalui jalan yang panjang dan berliku. Mereka pernah bersengketa dalam isu perhambaan sehingga tercetus Perang Saudara yang mengorbankan 51,000 orang tentera sekitar tahun 1863. Kejayaan pihak pimpinan Abraham Lincoln yang berjuang untuk menegakkan kebebasan dan persamaan hak tidak dapat membasmi diskriminasi kaum terus dari bumi Amerika. Satu ratus tahun kemudian, pada 28 Ogos 1963 Martin Luther King masih berbicara soal diskriminasi terhadap rakyat Amerika kulit hitam dalam pidato tersohornya yang berjodul "I have a dream".


Ada yang melihat kejayaan Obama harini sebagai satu realiti dari impian Martin Luther King hampir 50 tahun yang lalu. Dari satu sudut, memang masyarakat besar Amerika tidak lagi terbelenggu dengan kulit hitam dan rambut kerinting Obama. Namun beliau berjaya memenangi Pilihanraya Presiden kerana di sebalik rupa zahirnya, Bangsa Amerika percaya 100% bahawa Obama berjiwa Amerika sama seperti John McCain atau Hillary Clinton. Di atas keyakinan yang tinggi inilah bangsanya menyandarkan harapan yang menggunung kepada Obama untuk mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Bangsa Amerika di dalam negara mahupun di pentas dunia. Karisma dan kehebatan Obama berpidato dengan semboyannya untuk sebuah perubahan tatkala masyarakat Amerika muak dengan dasar-dasar Presiden Bush, adalah faktor tambahan yang membantunya menggamit imajinasi bangsanya.


Kejayaan Obama sebenarnya membawa dua mesej besar kepada dunia. Pertama, Bangsa Amerika tidak lagi terperangkap dalam prejudis terhadap warna kulit rakyatnya. Sebaliknya semangat dan jiwa bangsa seorang rakyat itu serta kemampuannya lebih dititikberatkan dalam penilaiannya sebelum diangkat menjadi pemimpin. Keduanya, sebagai seorang rakyat, Obama tidak berdaya untuk memilih sejarah silamnya termasuk siapa bapanya. Namun beliau boleh memilih untuk berperanan besar membela masa depan bangsanya atau kekal terperangkap dalam isu-isu perkauman dari sejarah silamnya.


Kalau kejayaan Obama ini dilihat dari perspektif yang betul, kita di Malaysia seharusnya merasa terkilan. Seperti juga Amerika, kita mempunyai rakyat yang berasal dari berbagai keturunan. Bagaimanapun, rakyat kita yang berbagai keturunan
tidak bersatu dalam satu bahasa seperti di Amerika. Sebaliknya mereka dibenarkan terus kekal dalam bahasa dan budaya masing-masing. Bahasa Malaysia dipelajari sekadar untuk lulus dalam peperksaan. Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dibenarkan mengajar anak-anak Malaysia dari keturunan Cina dan India dalam bahasa ibunda mereka. Hasilnya masyarakat Malaysia sangat tipis dalam jiwa bangsa Malaysia tetapi tebal dalam semangat perkaumannya.


Walaupun bapa Obama orang Kenya, semangat jiwa Amerika yang ditunjukkan oleh Obama tidak disangsi oleh masyarakat terbanyak di Amerika. Seharusnya kita juga bertanya; siapakah pemimpin bukan Melayu yang semangat jiwa Malaysianya tidak disangsi oleh masyarakat terbanyak di Malaysia? Malangnya pemberita kita memilih untuk bertanya Pak Lah, apakah kita sudah bersedia untuk seorang Perdana Menteri bukan Melayu? Kita yang sudah sekian lama tersalah langkah dalam proses pembinaan bangsa, masih bertanya soalan yang salah.

No comments: