Sunday, November 16, 2008

Ketuanan yang tersasar

Seandainya kita tidak pernah dijajah Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris lagi, mungkin rupa masyarakat Malaysia jauh berbeda dengan apa yang kita ada harini. Memang dagang santri yang datang berniaga di Melaka tidak hanya berasal dari alam jagat Melayu, bahkan dari benua kecil India, tanah besar Cina dan dunia Arab. Namun kehadiran mereka dalam jumlah yang kecil tidak banyak merubah komposisi masyarakat tempatan yang rata-rata terdiri daripada orang-orang Melayu. Di kalangan semua ketika itu, Bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan. Apabila Sultan Melaka memeluk ugama Islam, orang-orang Melayu telah beramai-ramai ikut serta menganut ugama Islam.


Selepas Melaka dan kemudiannya seluruh negara ditawan penjajah bersilih ganti dari tahun 1511 hinggalah sekitar 1890-an, ciri-ciri masyarakat tempatan sebenarnya tidak banyak berubah. Masyarakat terbanyaknya masih terdiri daripada orang-orang Melayu. Bahasa yang digunakan masih tetap Bahasa Melayu. Adat resam dan budaya tentulah adat resam dan budaya orang-orang Melayu. Walaupun Melaka tidak lagi bersultan sejak jatuh ke tangan Portugis, namun semua negeri-negeri di Semenanjung (kecuali Singapura dan Pulau Pinang yang asalnya sebahagian dari negeri Johor dan Kedah) terus diketuai seorang Sultan. Masyarakat tempatan juga masih berpegang kepada ajaran Islam meskipun penjajah Eropah cuba mengembangkan ugama Kristian melalui penubuhan sekolah-sekolah mubaligh mereka.



Walau bagaimanapun, apabila Inggeris mula memperkenalkan penanaman getah yang dibawa masuk dari Brazil secara besar-besar pada akhir abad ke 19, ramai buruh-buruh dari India Selatan telah dibawa masuk ke Tanah Melayu. Perlombongan bijih timah pula telah membawa masuk buruh-buruh Cina untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Bagi memenuhi agenda ekonomi pihak British, rupa masyarakat tempatan telah mengalami perubahan yang besar. Untuk pertama kali, selain orang Melayu, orang Cina dan India telah menjadi sebahagian besar penduduk Tanah Melayu.



Sebagai pekerja-pekerja kontrak di ladang-ladang getah dan juga di lombong-lombong bijih timah, orang-orang India dan Cina datang dengan maksud untuk mencari pekerjaan bagi membantu keluarga di negara asal mereka. Mereka telah membawa bersama mereka bahasa dan adat resam sendiri. Taat setia mereka masih tetap pada tanah tumpah darah mereka. Oleh yang demikian, mereka lebih terlibat dalam membantu gerakan politik Parti Kongres India dan Parti Kuomintang serta Parti Komunis Cina.



Apabila pihak Inggeris bercadang mengujudkan Malayan Union dalam tahun 1946, orang-orang Melayu telah bersatu di bawah pimpinan UMNO untuk membantah ide tersebut. Konsep Malayan Union cuba menyamaratakan semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengambilkira budaya dan adat resam masyarakat tempatan yang sudah berkurun lamanya diamalkan. Selain bantahan meluas di kalangan orang-orang Melayu, kecendrungan beberapa pertubuhan sayap kiri Melayu terhadap gagasan Melayu Raya dan sokongan sebilangan besar penduduk Cina terhadap Parti Komunis Malaya mendesak Inggeris supaya akur dan menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948.


Selepas Perang Dunia Kedua, kebangkitan gerakan kemerdekaan di Afrika dan Asia telah meledak dengan hebatnya. Inggeris yang bertanggung-jawab membawa masuk orang-orang India dan Cina ke Tanah Melayu merasa terpanggil untuk memastikan adanya kerjasama dan kerukunan di antara kaum sebelum negara ini diberi kemerdekaan. Justru pihak British meletakkan syarat supaya ketiga-tiga kaum berkerjasama, yang mana telah mendorong UMNO, MCA dan MIC menjalin satu kerjasama politik dalam bentuk Parti Perikatan.


Kerjasama di antara kaum di dalam Perikatan ini telah melahirkan satu tolak ansur atau sering disebut sebagai sosial kontrak di mana golongan pendatang telah diberi kerakyatan secara jus soli sementara Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Ugama Islam sebagai ugama rasmi serta kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu telah diperakui di dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada hakikatnya sosial kontrak ini adalah satu titik tolak besar dalam sejarah negara apabila pemimpin-pemimpin kaum terdahulu bersetuju untuk mengambil sikap prakmatik dalam menerima realiti yang ditinggalkan oleh sejarah. Lantaran kaum pendatang telah diterima sebagai warganegara dan pada masa yang sama ciri-ciri asal masyarakat Melayu iaitu Bahasa Melayu, Ugama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu dikembalikan semula sebagai lambang Malaysia yang merdeka.


Kalau di zaman Pemerintahan Jepun misalnya, Bahasa Jepun dipaksa ke atas masyarakat tempatan, wajarlah setelah merdeka Bahasa Melayu dimertabadkan sebagai Bahasa Malaysia. Begitu juga kalau di zaman penjajahan Inggeris, masyarakat tempatan harus tunduk patuh kepada perintah penjajah atas nama Ratu British, seharusnyalah apabila merdeka Yang DiPertuan Agong didaulatkan sebagai Ketua Negara. Inilah sebahagian dari erti kemerdekaan di mana kita sebagai sebuah bangsa tidak lagi dipaksa atau diperintah penjajah. Kita bebas memilih halatuju dan identiti sendiri. Kitalah tuan di tanahair sendiri.



Konsep ketuanan di negara sendiri ini seperti halnya di negara-negara lain di dunia adalah satu agenda kebangsaan. Di Indonesia, Bahasa Melayu diterima sebagai Bahasa Indonesia oleh seluruh Bangsa Indonesia yang berbagai keturunan. Di Thailand, Raja Thai dijunjung dan dipuja oleh seluruh Bangsa Thai yang berbagai keturunan. Demikian juga keadaannya di tempat-tempat lain di dunia. Di Amerika, Bahasa Inggeris yang dibawa masuk oleh penghijrah-penghijrah awal dari Kepulauan British diterima sebagai bahasa rasmi oleh seluruh Bangsa Amerika walaupun paska merdeka, mereka memutuskan untuk tidak lagi bernaung di bawah Ratu British. Sebaliknya ketuanan mereka dimanifestasikan apabila mereka memilih untuk melantik seorang Presiden sebagai Ketua Negara.



Konsep ketuanan di negara sendiri ini malangnya telah tersasar jauh dari pengertian sebenarnya di Malaysia. Oleh kerana ia berteraskan budaya Melayu, ia disalahertikan sebagai 'Ketuanan Melayu'. Seolah-olah hanya orang Melayu adalah tuan atau orang Melayu sahaja yang boleh menjadi Perdana Menteri. Kalau ini yang dimaksudkan sebagai Ketuanan Melayu, tentulah ia bercanggah dengan Perkara 8 dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang tegas menyatakan semua warganegara adalah sama disisi undang-undang dan Yang Dipertuan Agong harus melantik seorang dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang baginda fikirkan boleh mendapat keyakinan majoriti dari Ahli Dewan tersebut.


Sejak zaman Tuanku Abdul Rahman, zaman Tun Razak ketika mana DEB digubal dan kemudian zaman Tun Hussein, agenda memartabadkan ciri-ciri berteraskan masyarakat Melayu ini sebagai lambang Malaysia merdeka masih terpelihara sebagai agenda kebangsaan. Malah Tun Dr Mahathir yang pernah dianggap ultra dan radikal dalam membela nasib orang Melayu juga tidak menimbulkan isu 'Ketuanan Melayu' sebagai modal politiknya. Bagaimanapun apabila Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pemuda UMNO, beliaulah yang paling lantang memainkan sentimen 'Ketuanan Melayu' melalui retorika-retorikanya yang bersemangat dalam usaha membina imejnya sebagai pembela orang Melayu. Sejajar dengan pendekatan yang lebih bersifat perkauman ini, suatu ketika Bahasa Malaysia telah kembali dirujuk sebagai Bahasa Melayu.


Kini dalam usaha memikat pengundi-pengundi bukan Melayu, beliau menampilkan sebuah versi baru yang diberi jolokan 'Ketuanan Rakyat'. Kononnya 'Ketuanan Rakyat' bercirikan berbilang bangsa dan tidak bersifat perkauman. Ramai yang terbuai dan asyik dengan omongan beliau sedangkan seperti 'Ketuanan Melayu', 'Ketuanan Rakyat' adalah retorika politik yang songsang dan menyimpang. Sekali lagi, agenda bangsa yang seharusnya dijunjung tinggi oleh semua tanpa mengira keturunan dan ideologi, cuba dipolitikan hanya untuk menggapai cita-cita peribadi.


Kesepakatan pemimpin-pemimpin terdahulu dalam menerima realiti yang ditinggalkan sejarah dan mengembalikan ciri-ciri masyarakat tempatan sebagai lambang bangsa merdeka adalah satu langkah yang jujur dan berani. Rakyat harus sedar dan jangan sampai terperangkap dalam retorika politik perkauman yang rendah dan murahan.

Sunday, November 9, 2008

Terusik oleh Obama

Fenomena Obama memang hebat. Bukan hanya di Amerika, malah di seluruh dunia ramai yang bersorak, menari-nari dan mengalirkan airmata kegembiraan. Kejayaan Obama menjadi Presiden kulit hitam yang pertama buat Amerika adalah satu detik besar dalam sejarah manusia. Sejarah yang dahulunya menjadi saksi bagaimana orang-orang kulit hitam dibawa masuk dari Afrika sebagai hamba abdi di ladang-ladang orang kulit putih.


Datuk nenek Obama bagaimanapun tidak pernah dijadikan hamba dibumi Amerika. Bapanya, Barack Hussein Obama berasal dari Kenya dan pernah menyertai rancangan pertukaran pelajar di Hawaii dimana dia bertemu dan berkahwin dengan ibu Obama, Ann Dunham seorang wanita kulit putih yang berasal dari Kansas. Obama yang baru berusia 2 tahun dan ibunya telah ditinggalkan bapa Obama yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Harvard. Bapa Obama kemudian lansung pulang ke Kenya meninggalkan Obama hanya berbekalkan impian dari seorang ayah.


Ibu Obama berkahwin lagi dengan Lolo Soetoro, seorang warga Indonesia. Hasil perkahwinan itu, Obama mendapat seorang adik tiri bernama Maya Soetoro. Obama pernah tinggal bersama ibu dan bapa tirinya di Jakarta untuk beberapa tahun. Namun demi pelajaran dan masa depannya, ibu Obama telah menghantar Obama untuk kembali menetap di Hawaii bersama neneknya. Obama seterusnya melanjutkan pelajaran di Universiti Columbia sebelum diterima menuntut dalam jurusan Undang-Undang di Universiti Harvard, salah sebuah universiti terunggul di dunia.


Obama bertemu joduhnya, Michelle Robinson seorang peguam kulit hitam lulusan Universiti Harvard juga, semasa mereka sama-sama berkhidmat di sebuah firma guaman, Sidley Austin. Pasangan Pertama kulit hitam yang akan menghuni Rumah Putih ini dikurniakan dua orang cahaya mata, Sasha dan Malia. Pada usia yang muda, 47 tahun, masa depan dunia untuk tahun-tahun mendatang ini akan banyak bergantung kepada tindak tanduknya selaku Presiden Amerika.


Kisah Obama bukan sekadar satu kemenangan peribadi. Ia juga adalah riwayat kejayaan sebuah bangsa. Bangsa Amerika. Sejarah menceritakan bagaimana ramai dari rakyat Amerika yang berasal dari Kepulauan British. Mereka berhijrah ke Dunia Baru mencari penghidupan yang lebih baik. Namun selain Kepulauan British, ramai juga rakyat kulit putih Amerika yang berasal dari Belanda, Peranchis, Jerman, Sepanyol, Portugis, Rusia, Hungary, Austria dan dari merata tempat lain di Eropah.


Sejarah juga menceritakan bagaimana orang-orang Negro dari benua Afrika dibawa masuk ke Amerika sebagai hamba abdi. Harini, selain anak cucu orang-orang kulit hitam ini, terdapat ramai juga rakyat Amerika yang berasal dari Mexico, Cuba, dan negara-negara Latin Amerika lainnya. Tidak kurang juga rakyat Amerika yang berasal dari Israel, negara-negara Arab di Timur Tengah, Jepun, India, Cina dan negara-negara lain di Asia. Mereka juga datang ke Amerika mencari satu penghidupan baru.


Sebaik sahaja mereka berhijrah dan diterima menjadi rakyat Amerika, mereka menerima bahasa Inggeris di rumah, di sekolah dan di tempat kerja sebagai bahasa mereka. Kelompok masyarakat Amerika yang berbeda keturunan ini mempunyai kelaziman dan pantang larang masing-masing. Mereka masih berbangga dengan budaya yang mereka warisi dari negara asal mereka. Umpamanya warga Amerika keturunan Cina dan Jepun masih mengamalkan seni beladiri seperti Kung Fu, Judo dan Karate dan malah membuka pusat-pusat latihan untuk mengajar seni beladiri ini.

Dari warisan budaya asal mereka, identiti kelompok masyarakat Amerika ini memang mudah dikenali. Bagaimanapun, warisan budaya asal ini tidak menjadikan mereka sebuah masyarakat serpihan dari satu tamadun luar dan asing. Ciri budaya asal ini hanyalah ibarat saliran-saliran kecil yang kemudian mengalir kepada sungai budaya Amerika yang lebih besar dan mempengaruhi dalam kehidupan bermasyarakat. Hasilnya rakyat Amerika lebih berbangga dan mahu dikenali sebagai Bangsa Amerika sementara asal usul dan warna kulit sekadar kenangan dari sejarah lampau.


Nama-nama besar yang mewarnai kejayaan Amerika dalam pelbagai bidang seperti Muhammad Ali, Bruce Lee, Henry Kessinger, Tiger Wood, Arnold Schwarzenegger, Elvis Presley, Albert Einstein, Henry Ford, John F. Kennedy dan ramai lagi merupakan testimoni bahawa pembinaan Bangsa Amerika telah berjaya menghasilkan semangat cintakan bangsa dan negara yang merentasi soal kaum atau keturunan. Prosess pembinaan bangsa di Amerika tidaklah mudah atau berlaku dengan sekelip mata.


Sejak George Washington memproklamir kemerdekaan Amerika daripada Britain pada tahun 1776, pembinaan Bangsa Amerika telah melalui jalan yang panjang dan berliku. Mereka pernah bersengketa dalam isu perhambaan sehingga tercetus Perang Saudara yang mengorbankan 51,000 orang tentera sekitar tahun 1863. Kejayaan pihak pimpinan Abraham Lincoln yang berjuang untuk menegakkan kebebasan dan persamaan hak tidak dapat membasmi diskriminasi kaum terus dari bumi Amerika. Satu ratus tahun kemudian, pada 28 Ogos 1963 Martin Luther King masih berbicara soal diskriminasi terhadap rakyat Amerika kulit hitam dalam pidato tersohornya yang berjodul "I have a dream".


Ada yang melihat kejayaan Obama harini sebagai satu realiti dari impian Martin Luther King hampir 50 tahun yang lalu. Dari satu sudut, memang masyarakat besar Amerika tidak lagi terbelenggu dengan kulit hitam dan rambut kerinting Obama. Namun beliau berjaya memenangi Pilihanraya Presiden kerana di sebalik rupa zahirnya, Bangsa Amerika percaya 100% bahawa Obama berjiwa Amerika sama seperti John McCain atau Hillary Clinton. Di atas keyakinan yang tinggi inilah bangsanya menyandarkan harapan yang menggunung kepada Obama untuk mempertahankan dan memperjuangkan kepentingan Bangsa Amerika di dalam negara mahupun di pentas dunia. Karisma dan kehebatan Obama berpidato dengan semboyannya untuk sebuah perubahan tatkala masyarakat Amerika muak dengan dasar-dasar Presiden Bush, adalah faktor tambahan yang membantunya menggamit imajinasi bangsanya.


Kejayaan Obama sebenarnya membawa dua mesej besar kepada dunia. Pertama, Bangsa Amerika tidak lagi terperangkap dalam prejudis terhadap warna kulit rakyatnya. Sebaliknya semangat dan jiwa bangsa seorang rakyat itu serta kemampuannya lebih dititikberatkan dalam penilaiannya sebelum diangkat menjadi pemimpin. Keduanya, sebagai seorang rakyat, Obama tidak berdaya untuk memilih sejarah silamnya termasuk siapa bapanya. Namun beliau boleh memilih untuk berperanan besar membela masa depan bangsanya atau kekal terperangkap dalam isu-isu perkauman dari sejarah silamnya.


Kalau kejayaan Obama ini dilihat dari perspektif yang betul, kita di Malaysia seharusnya merasa terkilan. Seperti juga Amerika, kita mempunyai rakyat yang berasal dari berbagai keturunan. Bagaimanapun, rakyat kita yang berbagai keturunan
tidak bersatu dalam satu bahasa seperti di Amerika. Sebaliknya mereka dibenarkan terus kekal dalam bahasa dan budaya masing-masing. Bahasa Malaysia dipelajari sekadar untuk lulus dalam peperksaan. Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dibenarkan mengajar anak-anak Malaysia dari keturunan Cina dan India dalam bahasa ibunda mereka. Hasilnya masyarakat Malaysia sangat tipis dalam jiwa bangsa Malaysia tetapi tebal dalam semangat perkaumannya.


Walaupun bapa Obama orang Kenya, semangat jiwa Amerika yang ditunjukkan oleh Obama tidak disangsi oleh masyarakat terbanyak di Amerika. Seharusnya kita juga bertanya; siapakah pemimpin bukan Melayu yang semangat jiwa Malaysianya tidak disangsi oleh masyarakat terbanyak di Malaysia? Malangnya pemberita kita memilih untuk bertanya Pak Lah, apakah kita sudah bersedia untuk seorang Perdana Menteri bukan Melayu? Kita yang sudah sekian lama tersalah langkah dalam proses pembinaan bangsa, masih bertanya soalan yang salah.

Monday, November 3, 2008

Debu debu dusta

Di dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, dua orang anggota UTK dituduh membunuh dan Razak Baginda dituduh bersubahat di dalam pembunuhan wanita Mongolia itu. Seramai 84 orang saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwa dalam usaha membuktikan kesnya. Setelah mendengar perbicaraan selama 151 hari, Yang Arif Hakim Datuk Mohd Zaki membuat keputusan untuk memanggil kedua-dua anggota UTK yang dituduh membunuh iaitu Azilah dan Sirul Azhar untuk membela diri. Pendakwa didapati gagal membuktikan kes prima facie terhadap Razak Baginda dan dengan itu beliau dibebaskan.


Walaupun pepatah undang-undang ada menyebut seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah, sejak dikenakan tuduhan bersubahat membunuh, Razak telah dipenjarakan di Penjara Sungai Buluh selama 22 bulan. Permohonannya untuk ikatjamin tidak dibenarkan. Selama tempuh itu, beliau sama seperti banduan lain. Terkurung, digari, berpakaian seragam, terhad berjumpa keluarga dan peguam dan terpisah dari masyarakat. Tidak ada yang istimewa!

Hukuman terhadap tuduhan bersubahat membunuh adalah sama berat dengan hukuman terhadap tuduhan membunuh iaitu gantung sampai mati. Oleh kerana Razak Baginda dituduh bersubahat membunuh, pendakwa mestilah membuktikan samada Razak telah mengarah, memberi imbuhan atau mempunyai pertalian saudara atau kenalan dengan OKT pertama dan kedua sehingga pembunuhan itu berlaku hasil dari apa yang dirancang atau dirangsang oleh Razak. Unsur-unsur ini mesti dibuktikan.


Sebagai orang awam, saksi pendakwa sendiri dari Bukit Aman mengakui Razak tidak mempunyai kuasa untuk mengarah OKT pertama dan OKT kedua yang memang pegawai polis.
Hasil penyasatan juga menunjukkan Razak tidak pernah berjanji untuk memberi sebarang imbuhan supaya pembunuhan ini terjadi. Sebaliknya saksi pendakwa jujur memberitahu mahkamah, Razak malah melahirkan kebimbangan agar wanita Mongolia itu tidak diapa-apakan. Kedua-dua tertuduh pertama dan kedua bukanlah saudara atau sahabat Razak untuk menjadi asas yang memungkinkan mereka membunuh Altantuya untuk Razak.Razak baru diperkenalkan kepada Azilah setelah Razak memohon pertolongan DSP Musa apabila diri dan keluarganya terus diganggu oleh Altantuya sementara Sirul pula, Razak baru pertama kali berjumpa apabila sama-sama ditahan dan dihadapkan dengan pertuduhan di dalam kes ini.


Pihak pendakwa yang diketuai Tun Abdul Majid melaksanakan tugas pendakwaan sepenuh daya mereka dalam usaha meyakinkan mahkamah bahawa ketiga-tiga tertuduh harus dipanggil untuk membela diri. Kesungguhan mereka terserlah apabila rekod panggilan talipon dari talipon bimbit Razak kepada talipon bimbit Azilah yang terlalu singkat (beberapa saat) sedangkan kandungan "perbualan" mereka tidak diketahui, turut dijadikan hujah untuk mensabitkan pertuduhan terhadap Razak. Tambahan pula, selain firma peguam Karpal Singh yang dilantik oleh keluarga mendiang Altantuya, Majlis Peguam juga diberi status pemerhati oleh mahkamah.


Hakim Datuk Mohd Zaki yang mengendalikan kes ini telah memberi cukup kesempatan kepada kedua-dua belah pihak untuk mengemukakan kes masing-masing. Yang Arif bagaimanapun mendapati pendakwa melalui bukti-bukti yang dikemukakan gagal menyangkal affidavit yang telah difail oleh Razak sewaktu membuat permohonan ikatjamin dahulu. Melalui affidavit tersebut, Razak telah menghuraikan hubungan yang pernah terjalin di antara dirinya dengan Altantuya, bagaimana hubungan itu berakhir dan bagaimana dia meminta bantuan polis untuk melindungi keluarga dan dirinya dari gangguan si mati. Affidavit ini kemudiannya telah menjadi sebahagian dari bahan bukti pihak pendakwa. Datuk Mohd Zaki berpendapat saksi-saksi yang dipanggil pihak pendakwa malah memperakui kebenaran beberapa perenggan affidavit tersebut. Oleh yang demikian, Datuk Mohd Zaki berpuas hati untuk membebaskan Razak Baginda dari tuduhan bersubahat membunuh di dalam kes pembunuhan Altantuya.

Sebuah kes jenayah. Itulah hakikat pertuduhan yang dihadapkan terhadap Razak. Dari sudut perundangan, kes yang berprofil tinggi ini telah dibicarakan dengan telus dan adil mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang. Keputusan mahkamah telah membersihkan Razak daripada jenayah bersubahat membunuh Altantuya. Di luar mahkamah, beberapa watak pula yang terpalit kotor dengan fitnah yang mereka cipta. Di luar mahkamah, debu debu dusta berpatah memburu mereka.

Razak yang dituduh, Najib yang jadi sasaran. Itulah strategi licik politik pembangkang dalam mengeksploitasi kes ini.Sejak Pilihan Raya Kecil di Ijok lagi, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai cukup bukti keterlibatan Najib dengan Altantuya. Gambar Najib dengan wanita Mongolia itu sengaja diada-adakan. Raja Petra malah sanggup membuat Akuan Bersumpah bahawa isteri Najib terlibat menyaksikan adigan pembunuhan wanita Mongolia itu. Bala membuat Akuan Bersumpah kononnya diberitahu Razak Baginda, Najib mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya sebelum membuat Akuan Kedua untuk menafikan Akuan pertamanya. Terakhir SMS Najib dengan bekas peguam Razak disensasikan seolah-olah Najib telah menyalahguna kuasa.

Sebaik sahaja Razak dibebaskan mahkamah, segala tomahan ini kembali di ingatan dan menuntut pertanggungjawaban moral dan di sisi undang-undang. Anwar sering menjaja di mana-mana yang dia punya cukup bukti keterlibatan Najib dengan kes Altantuya. Di sidang akhbar sempena Akuan Bersumpah Bala yang pertama, Anwar tersenyum kambing kegirangan dan sempat memerli Najib yang mahu dihantar sebagai Duta ke Mongolia apabila dia menjadi Perdana Menteri pada 16 September. Kalau benar Anwar ada cukup bukti, mengapa tidak membuat laporan polis dan membantu pihak pendakwa?


Anwar sebaliknya menyalahkan pihak polis dan pendakwa yang menurutnya gagal menjalankan siasatan dan pendakwaan dengan baik. Dalam kes liwatnya terhadap Saiful, Anwar tidak pula meminta supaya siasatan dilakukan dengan baik. Anwar bahkan mendesak supaya kesnya segera digugurkan. Beliau enggan memberi sampel DNAnya kepada pihak hospital sedangkan Razak telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis sewaktu dalam siasatan. Permohonan Razak untuk ikatjamin yang tidak dibenarkan mahkamah, tidak pernah di sebut. Razak diberi gambaran seolah-olah mendapat layanan yang istimewa. Permohonan Anwar untuk ikatjamin sebaliknya dibenarkan dan peguamnya memuji Hakim kerana berlaku adil.


Raja Petra pula dengan Akuan Bersumpahnya telah memberi versi yang berbeda tentang pembunuhan Altantuya. Isteri Najib, Rosmah kononnya berada di tempat kejadian bersama sepasang suami-isteri. Ketika Akuan Bersumpah itu muncul di halaman webnya, RPK dipuji melangit oleh pembangkang kerana keberaniannya. RPK kini dihadapkan dengan pendakwaan di bawah Akta Hasutan dan saman malu dari suami-isteri tersebut. Peguambela dalam kes Altantuya juga dilapurkan akan memanggil RPK sebagai saksi pembela.


Bala yang mendakwa dalam Akuan Bersumpahnya yang pertama, kononnya telah diberitahu Razak Baginda bahawa Najib pernah menjalin hubungan sulit dengan Altantuya besar kemungkinan akan turut berdepan dengan pendakwaan kerana pembohongannya. Akuan Bersumpahnya yang kedua yang menafikan Akuan Bersumpah yang pertama sebenarnya adalah pengakuan yang dia telah berbohong. Razak pula mungkin akan dipanggil sebagai saksi pendakwa.


Najib dikaitkan dengan Altantuya kerana hubungan akrabnya dengan Razak. Apabila Razak dibersihkan oleh mahkamah, segala yang disensasikan terhadap Najib menjadi pudar dan tawar. Sebaliknya giliran RPK dan Bala pula yang akan berada di kandang tertuduh dan berkesempatan untuk membersih nama mereka. Kalau mengikut tradisi di Singapura, mungkin Anwar juga terpaksa berdepan dengan saman malu $100 juta.

Wednesday, October 29, 2008

Bahasa Jiwa Bangsa

Masyarakat Indonesia berketurunan Tionghua memang mengkagumkan. Mereka fasih bertutur dalam Bahasa Indonesia sama seperti warga Indonesia yang lain. Lebih mengkagumkan, mereka tidak pernah merasa terpaksa bertutur dalam Bahasa Indonesia. Malah di luar Indonesiapun, sesama sendiri mereka terus berbahasa Indonesia. Mereka benar-benar menjadi bagian dari masyarakat besar Indonesia. Asal usul mereka hanyalah sejarah silam.


Di negara kita sendiri, ada juga masyarakat Cina peranakan seperti di Pulau Pinang atau Baba-Nyonya di Melaka yang seakan masyarakat Indonesia berketurunan Tionghua ini. Mereka fasih berbahasa Malaysia dan cukup selesa menggunakan Bahasa Kebangsaan sesama sendiri dan dengan masyarakat Malaysia yang lain. Malangnya tidak seperti di Indonesia, mereka hanyalah segelintir dari masyarakat Cina Malaysia.


Umumnya masyarakat Cina di negara kita menganggap Bahasa Malaysia adalah bahasa orang Melayu. Bukan bahasa mereka. Bahasa mereka adalah bahasa Cina. Mereka bertutur seharian dalam dailek Mandarin, Kantonis, Hokien, Teochew, Hakka dan sebagainya. Malah ramai juga yang lebih selesa berbahasa Inggeris dari Bahasa Malaysia. Bahasa Malaysia dipelajari sekadar untuk berjaya dalam pepereksaan. Dalam sistem pelajaranpun, mereka mahu belajar di Sekolah-Sekolah Cina yang tentunya menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.


Hasilnya, masyarakat Cina di Malaysia terus dengan keperibadiannya sebagai serpihan dari masyarakat Cina yang datang dari tanah besar Cina. Bukan sekadar sejarah silam. Aspirasi mereka ialah untuk mengekalkan identiti kecinaan dan mereka enggan menerima masyarakat Malaysia yang bertunjangkan budaya dan ciri tempatan. Mereka menyangkal sejarah negara dan menolak peruntukan perlembagaan khususnya Perkara 152 dan 153 yang mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputra lain.


Selalunya kita cepat membuat kesimpulan bahawa perbedaan yang amat ketara di antara masyarakat keturunan Cina di Indonesia dan masyarakat Cina di sini adalah kerana nisbah populasi mereka di negara tetangga itu yang kecil sekali jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduknya. Di negara kita mereka membentuk sekitar 30% daripada jumlah rakyat. Namun kita tidak pernah meninjau dasar dan pendekatan pembentukan negara kita, apa mungkin kita telah tersilap langkah.


Di Indonesia, jauh sebelum merdeka sekitar tahun 1928 telah bergema Sumpah Pemuda yang menuntut "Satu Bahasa, Satu Bangsa, Satu Negara". Tentulah yang dimaksudkan satu bahasa itu, Bahasa Indonesia, Satu Bangsa, Bangsa Indonesia dan Satu Negara, Negara Indonsia. Bahasa Indonesia asasnya adalah Bahasa Melayu, bukan Bahasa Jawa walaupun orang Jawa membentuk hampir 70% penduduk Indonesia. Sukarno, Hatta dan kepimpinan Indonesia selepas merdeka umumnya sadar bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa penghubung di nusantara ini sejak berkurun lamanya. Bahasa Jawa, Sunda, Minang, Bugis dan sebagainya masih terpakai di daerah masing-masing. Demi perpaduan, semua masyarakat berbilang sukukaum ini berkorban untuk memertabadkan Bahasa Indonesia. Di dalam semangat inilah masyarakat Tionghua turut berkorban menerima Bahasa Indonesia.


Apabila masyarakat Tionghua berkorban menerima Bahasa Indonesia, masyarakat besar Indonesia menerima mereka pula sebagai bagian daripada masyarakat Indonesia. Rakyat Indonesia hanya mempunyai masa silam yang berbeda. Dalam lain perkataan, mereka berasal dari keturunan yang pelbagai; Jawa, Bugis, Minang, Banjar, Ache, Cina dan sebagainya. Namun mereka semua adalah anak satu bangsa iaitu Bangsa Indonesia. Boleh berbagai keturunan, tapi hanya satu bangsa!


Di negara-negara lain di dunia; di Peranchis, Kanada, Australia, Thailand, semangat "Satu bahasa, satu negara" ini yang menyatukan mereka sebagai sebuah bangsa. Di Amerika misalnya, orang Amerika berasal dari berbagai keturunan termasuk Inggeris, Sepanyol, Itali, Yahudi, Arab, Afrika, Cina dan sebagainya. Mereka menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan. Walaupun komuniti ini mempunyai pantang larang dan kelaziman masing-masing, namun mereka semua bangga sebagai satu bangsa Amerika.


Di Malaysia kita menungkat arus. Bukan semangat ala "Sumpah Pemuda" yang terpakai sebaliknya "Unity in diversity" yang kita megahkan. Masyarakat kita bukan dikatakan berbagai keturunan, tetapi berbagai bangsa. Setiap bangsa kononnya ada bahasa ibunda sendiri. Soal berkorban untuk memertabadkan Bahasa Malaysia langsung tidak timbul. Sebaliknya yang sering dilaungkan ialah hak setiap bangsa untuk mengamalkan bahasa ibunda dan budaya sendiri. Sudahlah mengamalkan bahasa ibunda dan budaya sendiri dianggap hak, sebarang usaha untuk memertabadkan Bahasa Malaysia dan Budaya Nasional pula dikecam sebagai perkauman.


Apa yang berlaku dalam masyarakat Malaysia harini adalah cerminan daripada kesilapan pendekatan kita sendiri. Sudah menjadi lumrah kalau orang Cina dan India bertutur dalam pelat Bahasa Malaysia yang memalukan. Malangnya kita hanya menganggap fenomena ini sekadar bahan lawak jenaka seperti yang ditonjolkan oleh Saiful Apek. Sebenarnya kecuali segelintir, ramai di kalangan Ahli Yang Berhormat dari pihak kerajaan mahupun pembangkang yang seperti apek dan nyonya. Lagak mereka sama sekali tidak seperti warga Malaysia yang menerima Bahasa Malaysia sebagai bahasa mereka.


Muslihat terkini mereka menolak Bahasa Malaysia tersirat di dalam kelulusan oleh Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP supaya papantanda jalan di negeri itu menggunakan berbagai bahasa Jawi, Tamil, Cina di samping Bahasa Malaysia. Kononnya ciri-ciri berbilang bangsa ini boleh menguntungkan negeri tersebut dalam sektor pelancungan.
Unsur-unsur globalisasi dan keterbukaan juga sering dihubungkaitkan dalam usaha mereka menunggang kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa. Dalam masa yang sama, mereka cukup berhati-hati mengelakkan matlamat sebenar mereka yang memperjuangkan bahasa Cina dari kelihatan perkauman.


Sungguh kata perpatah, Bahasa Jiwa Bangsa. Apabila masyarakat Cina Malaysia menganggap Bahasa Cina sebagai bahasa ibunda mereka, jiwa mereka juga adalah jiwa Cina. Jiwa Cina inilah yang terserlah apabila Naib Presiden MCA, Liow Tiong Lai menyeru kerajaan menghapuskan keperluan 30% equiti bumiputra dalam syarikat umum yang tersenarai. Sebelum ini, jiwa Cina tak terbendung apabila Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe mendakwa orang Melayu juga adalah kaum pendatang. Jiwa Cina tidak berpaksikan aspirasi nasional yang telah dirangkumkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jiwa Cina bukan jiwa Malaysia.


Persis seorang mahasiswa Universiti Beijing yang mendalami jurusan Bahasa Melayu. Beliau mungkin menguasai Bahasa Melayu dengan baik namun jiwanya tetap berpaut pada tanah tumpah darahnya. Jiwa Malaysia bertunjangkan jiwa Melayu. Di persada seni suara tanahair, Andre Goh dan D.J. Dave menggambarkan mekarnya jiwa Malaysia. Di pentas puisi pula, jiwa puitis Lim Swee Tin sama menyemarakkan jiwa Malaysia seperti penyair lain. Mereka diterima baik oleh masyarakat Malaysia sebagai seniman dan penyair tanahair sama seperti teman seperjuangan mereka yang berketurunan Melayu.


Ertinya sungguhpun jiwa Malaysia berteraskan jiwa Melayu, ia bukanlah hak eksklusif warga Malaysia keturunan Melayu. Seperti Banjaran Titiwangsa, ia adalah milik dan kebanggaan semua rakyat Malaysia. Jiwa bangsa Malaysia bukan soal perkauman tetapi kebangsaan. Masyarakat Indonesia berketurunan Tionghua adalah satu tauladan.

Monday, October 27, 2008

Sama tapi tak serupa

Selepas keluar dari UMNO, Tengku Razaleigh membentuk satu wadah perjuangan yang baru iaitu Parti Semangat 46. Beliau juga membuat satu kerjasama dengan parti pembangkang yang sedia ada, khususnya DAP dan PAS menerusi apa yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Seperti UMNO, Semangat 46 adalah parti politik orang Melayu. Anwar Ibrahim  nampaknya sedang menempuh jalan yang sama. Bedanya, Parti Keadilan adalah parti berbilang bangsa. Parti Keadilan kemudiannya bergabung pula dengan Parti Rakyat untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat. PKR juga menjalin satu kerjasama dengan DAP dan PAS menerusi apa yang kita kenali harini sebagai Pakatan Rakyat.


Barangkali ini yang dikatakan sama tapi tak serupa. Anwar nyata jauh lebih berkarisma. Pidatonya berjaya memukau ribuan pengikut. Namun Anwar juga lebih licik dan tega dalam percaturan politiknya. Sebaik keluar dari UMNO, Anwar segera berubah wajah. Dari imej seorang pendekar bangsa yang paling lantang memperjuangkan Ketuanan Melayu, Anwar muncul sebagai tokoh politik berbilang bangsa yang liberal dan sanggup berkompromi.   


Pendekatan politik berbilang bangsa ini adalah satu perhitungan politik yang bijak dan ternyata membawa tiga keuntungan besar dalam halatuju politik Anwar. Pertama, penyokong gerakan refomasi yang datang dari pelbagai kaum tidak merasa tersisih apabila mereka semua diterima dalam sebuah parti politik. Kedua, sekutunya dalam pembangkang khususnya DAP, merasa cukup selesa dengan sikap keterbukaan Anwar yang menerima baik konsep "Malaysian Malaysia" dan ketiga, UMNO pula kelihatan lebih perkauman di kalangan parti komponen BN. 

Kesanggupan Anwar berkompromi dalam memperjuangkan hak orang Melayu telah dilakukan dengan begitu hebat sekali sehinggakan orang Melayu bagaikan disihir, terus terpesona dengan omongan dan janji politiknya. Dalam masa yang sama, DAP muncul sebagai jaguh pejuang hak orang Cina dan India kerana berjaya mendapat tolak ansur yang lebih dari yang diperolehi oleh komponen parti BN. Pandangan umum ini berjaya mendapat perhatian media  dan terus menjadi tekanan di kalangan BN sendiri. Sementara itu Pakatan Rakyat digambarkan sempurna sebagai satu alternatif yang wajar dipertimbangkan.


Nada perwakilan di Perhimpunan Agung parti-parti komponen BN mencerminkan sentimen tidak puas hati terhadap UMNO. Berbagai celaan seperti "terlalu dominen", "angkuh", "perkauman", "pembuli", "orang Melayu juga kaum pendatang" dan sebagainya dilemparkan kepada UMNO. Ada juga usul yang menyarankan supaya semua parti-parti komponen dibubarkan dan ahli-ahlinya bergabung dalam sebuah parti BN yang berbilang bangsa. Harini UMNO dilihat oleh rakan-rakannya sendiri sebagai huduh dan jahat.          


Di sinilah sebenarnya perbedaan pendekatan politik Anwar dan politik Tengku Razaleigh. Yang satu sudah tidak lagi membicarakan tentang ruh Melayu dalam perjuangan politiknya sedangkan yang satu lagi tidak pernah pudar ruh Melayunya di luar maupun di dalam UMNO.


Kelemahan kepimpinan UMNO sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Terikut-ikut dengan rentak Anwar yang sering melaungkan seruan Barat ke arah keterbukaan, media arus perdana dan media siber bergandingan memaparkan "kepincangan" dalam BN yang seakan-akan sudah retak menanti belah. Bagaikan satu agenda yang tersembunyi, kerjasama di antara Pakatan Rakyat yang jauh lebih rapuh sengaja dilupakan.


Parti parti politik yang berkerjasama di dalam Pakatan Rakyat tidak mampu bertanding di bawah satu lambang sebagaimana BN. Jurang falsafah politik di antara DAP dan PAS adalah sangat besar. Anwar dan PKR memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi kerjasama politik yang rapuh ini. Dalam usaha membawa ketiga-tiga parti ini kepada satu titik pertemuan, Anwar memusatkan perhatian kepada isu-isu seperti ISA, rasuah dan isu semasa seperti harga minyak dan kemelesetan ekonomi. 


Sungguhpun DAP melaungkan politik berbilang bangsa, masyarakat Melayu umumnya melihat parti ini sebagai sebuah parti orang Cina dan India yang kerapkali mempersoalkan ciri-ciri bangsa dan negara Malaysia yang berteraskan budaya Melayu. PAS pula, walaupun cuba memikat kaum-kaum Cina dan India, namun pada dasarnya adalah sebuah parti orang Melayu yang mahu mendirikan negara Islam. Tentangan keras DAP terhadap matlamat perjuangan PAS ini adalah sesuatu yang diketahui umum. DAP tidak mungkin akan menarik balik tentangannya terhadap hasrat penubuhan negara Islam oleh PAS. PAS pula tidak mungkin akan menggugurkan matlamatnya mendirikan negara Islam.


Untuk sementara waktu ini, Anwar berjaya berdiri di tengah sambil memimpin tangan DAP dan PAS di kiri dan kanannya dalam satu jalinan kerjasama politik yang rapuh. Tanpa orang tengah ini, pertembungan DAP-PAS adalah ibarat bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa dan meranapkan Pakatan Rakyat. PKR sendiri sebagai sebuah parti politik banyak bergantung kepada karisma Anwar sebagai faktor penyatuannya.


Tidak seperti DAP atau PAS, PKR mempunyai keahlian yang berlatarbelakangkan berbagai ideologi. Ada kelompok yang berasal dari Parti Rakyat seperti Syed Husin dan Sivarasa, dan tidak menghairankan kalau mereka condong kepada sosialisme. Ustaz Badrul Amin dan Zulkifli Nordin yang bingkas mempertahankan Islam baru-baru ini, tentulah lebih mirip kepada Islam. Mereka yang asalnya dari UMNO seperti Azmin dan Saifuddin mungkin boleh disatukan dalam kelompok yang lain dengan Gobalakrisna dan Tian Chua kerana sama-sama mempelopori Gerakan Reformasi. Tanpa Anwar, PKR sendiri nampak tidak menentu dalam kiblat perjuangan mereka.


Dalam keghairahan Anwar memancing ahli-ahli Parlimen dari BN supaya menyertainya membentuk kerajaan baru, PAS telah melahirkan kebimbangan sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyokong Kerajaan Pakatan Rakyat kelak terdiri daripada bukan Melayu. Situasi ini boleh mendesak PAS dan UMNO supaya bergabung dalam satu kerjasama politik demi masa depan Melayu dan Islam. Natijahnya tentulah membawa kepada kancah politik negara yang benar-benar terbahagi atas dasar perkauman. Kalau sampai ini terjadi, keharmonian kaum dan pertumbuhan ekonomi yang mampan yang telah kita kecapi sejak merdeka mungkin akan hanya tinggal sejarah.


Seperti BN, Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama politik. Sama tapi tak serupa. Pakatan Rakyat adalah satu kesefahaman yang longgar dan dibayangi oleh aspirasi perjuangan yang berbeda. Tanpa Anwar, Pakatan Rakyat dan PKR sendiri nyata rapuh. Pada usia 62 tahun, Anwar tak mungkin menongkat langit. Masa depan negara tidak harus disandarkan pada satu pakatan yang rapuh dan sementara.        

Tuesday, October 21, 2008

Agenda yang terselindung

Dunia sudah berubah. Dunia sekarang adalah dunia tanpa sempadan. Dalam dunia tanpa sempadan, nasionalisma sempit sudah tidak ada tempat lagi. Nasionalisma sempit dihubungkaitkan dengan perkauman. Politik perkauman suatu yang lapuk dan ketinggalan zaman. Era sekarang ialah era politik berbilang bangsa. Politik berbilang bangsa adalah jawapan kepada pembentukan Bangsa Malaysia. Laungan ke arah ini disebut dan diulang oleh ahli politik pembangkang dan dari kalangan komponen Barisan Nasional. Media arus perdana turut bergandingan dengan media siber dalam meniupkan sentimen serupa. Rentetan dari satu agenda bersama, terakhir Pemuda Gerakan mengusulkan supaya parti-parti komponen dibubarkan dan semua ahli bergabung dalam satu parti politik Barisan Nasional yang berjuang atas dasar berbilang bangsa.


Bunyinya memang sedap. Namun maksudnya terselindung. Sebarang usaha yang kelihatan bertentangan dengan gelombang perubahan ini dianggap sudah tidak relevan dengan realiti Malaysia harini. Kesan sampingannya, benarlah seperti pengamatan Tun Mahathir. Harini kita jadi "racist" jika cuba membela nasib orang Melayu. Malah harini kita juga dikatakan kolot dan perkauman jika mendaulatkan Bahasa Malaysia. Malangnya, ramai juga yang termakan dengan propaganda ini.


Sebenarnya politik berbilang bangsa telahpun diamalkan di negara ini dengan cara kita sendiri melalui Parti Perikatan yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional. Tidak seperti kerajaan campuran yang dibentuk di negara lain ataupun di kalangan Pakatan Rakyat sendiri, semua parti komponen BN bertanding diatas satu tiket dan bernaung di bawah satu menifesto. Melalui mekanisma ini, semua kaum di negara ini dapat berkongsi kuasa dan diwakili di dalam kerajaan.


Bayangkan seandainya parti komponen BN bergabung menjadi satu parti politik. Berkemungkinan besar satu dua kaum sahaja yang akan mendominasinya. Orang Melayu yang datang dari UMNO mungkin membentuk majoriti terbesar dalam perwakilan ke Perhimpunan Agung dan seterusnya menyapu bersih jawatan penting. Ahli dari keturunan minoriti akan rasa terpinggir dan tidak puas hati. Ketika itu, dari segi nama dan perlembagaan sahaja BN berbilang bangsa, pada praktiknya lain lagi.


Pada realitinya, bukankah ini keadaan sebenar parti-parti politik seperti DAP, Gerakan dan PPP yang mengaku sebagai sebuah parti politik berbilang bangsa? Dominasi satu-satu kaum dalam parti-parti politik ini sangat menyerlah. DAP terpaksa melantik Tuanku Abdul Aziz sebagai seorang Naib Pengurusi parti tersebut supaya nampak ada wakil orang Melayu di kalangan penjawat jawatan terpenting parti itu. Perwakilan Gerakan pula tidak memilih Dr Arsharuddin, walaupun beliau satu-satunya wakil orang Melayu yang bertanding jawatan Naib Presiden. PPP lebih sinonim dengan masyarakat India, walaupun Presiden parti itu boleh menafikannya.


Sebenarnya politik berbilang bangsa seperti yang dilaung-laungkan hanyalah tabir yang menyembunyikan aganda perkauman. Berbanding Agenda Nasional yang telah disimpul erat dalam satu kontrak sosial dan termaktub di dalam Perlembagaan, agenda perkauman mengungkit semula perkara-perkara yang telah disepakati dan memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum sebagai masyarakat serpihan dari satu tamadun luar. Akibatnya masyarakat kita, terutamanya generasi muda bersekolah di sekolah yang berbeda, bertutur dalam bahasa yang berbeda, menonton filem yang berbeda dan hidup dalam lingkungan budaya yang berbeda. Bahana politik berbilang bangsa, masyarakat berbilang kaum kita jadi bertambah renggang dan terpisah.


Malangnya, harini pandangan umum telah berjaya diterbalikkan. Tuntutan yang berbau perkauman satu masa dahulu, kini diwangikan sebagai sebahagian dari tuntutan masyarakat moden dan liberal. Tindak tanduk yang biadab dan melampau digambarkan sebagai satu hak asasi manusia dalam masyarakat madani. Kebebasan memaki hamun dan menabur fitna disajikan sebagai satu lagi ciri dari keterbukaan masakini. Ahli politik berbilang bangsa pula diberi imej sebagai tokoh yang tegas menentang rasuah dan penindasan pihak berkuasa terhadap rakyat.


Usul supaya setiap parti dalam BN, termasuk UMNO dibubarkan dan semua ahli bergabung dalam sebuah parti mustahil diterima buat masa ini. Prasyarat sebelum usul itu dapat diterima ialah semua ahli parti BN yang berbilang bangsa mestilah mempunyai aspirasi perjuangan yang sama. Perkara-perkara yang telah disepakati sejak merdeka mestilah dijadikan matlamat bersama untuk dipertahankan. Dalam hal ini, kenyataan Ketua Wanita Gerakan sendiri yang mengatakan orang Melayu sebagai kaum pendatang tentulah
terkeluar dari konteks perjuangan BN yang berbilang bangsa seperti yang diusulkan.


Usul supaya semua parti dalam BN bergabung dikemukakan walaupun sudah dijangkakan sejak mula ia akan ditolak diperingkat Majlis Tertinggi BN. Pucuk pinpinan BN sekali lagi akan kelihatan tidak seiring dengan arus perubahan zaman. Tempiasnya menjurus kepada UMNO yang nampak perkauman.

Thursday, October 16, 2008

Pendatang di kampung halaman sendiri

Menurut cerita dongeng, susur galur Kesultanan Melaka kononnya berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Segantang iaitu sebuah daerah di pulau Sumatra. Guru Hang Tuah lima bersaudara juga yang bernama Sang Adi Putra diriwayatkan orang, berasal dari tanah jawa sementara Hang Tuah sendiri dikatakan berpindah sewaktu kecil mengikut bapanya Hang Mahmud datang ke Melaka dari Pulau Bentan. Puteri Gunung Ledang pula asal ceritanya adalah seorang puteri dari tanah jawa yang bernama Anjas Asmara dan kerana cintanya yang terhalang, merajuk hati lalu membawa diri menetap di Gunung Ledang.


Kajian sejarah turut menunjukkan arah perantauan yang serupa. Parameswara merupakan seorang putera dari Palembang yang melarikan diri ke Temasek sebelum mengasaskan Kesultanan Melaka. Salasilah Kesultanan Selangor bermula dari Raja Lumu iaitu putera dari Daeng Chelak yang berasal dari Bugis. Asal keturunan Yam DiPertuan Besar Negeri Sembilan pula seperti yang diketahui orang, datang dari Pagar Ruyung, di daerah Minangkabau. Malah orang Melayu umumnya merupakan generasi terkemudian dari sukukaum Jawa, Bugis, Minangkabau, Aceh, Banjar, Rawa dan berbagai lagi yang semuanya berasal dari seberang.


Dari cerita penglipur lara hinggalah fakta sejarah, dalam konteks kebangsaan harini, orang Melayu dan Raja-Raja kelihatannya seperti berasal dari Indonesia. Bertitik tolak dari sini, golongan yang mendakwa memperjuangkan politik berbilang bangsa cepat membuat kesimpulan, orang Melayu juga adalah kaum pendatang. Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe bukanlah sesuatu yang pertama kali. Ia pernah dibangkitkan oleh Lee Kuan Yew di Dewan Rakyat satu ketika dahulu dan diungkit oleh beberapa aktivis DAP. Namun mereka mungkin lupa bahawa seluruh nusantara ini, suatu ketika dahulu adalah alam jagat Melayu.


Sejarah Melayu ada mengesahkan bahawa Pasai telah dahulu memeluk Islam sebelum Melaka. Apabila timbul kekeliruan soal agama, persoalan tersebut dimajukan kepada ulamak-ulamak di Pasai untuk merungkainya sebelum dibawa kembali menghadap sultan Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugis dalam tahun 1511, orang Melayu dari Johor telah bergabung tenaga dengan orang Aceh dalam usaha menawan semula Melaka. Selepas Melaka bertukar tangan kepada Belanda, orang Bugis pula yang berpengkalan di Riau beberapa kali menyerang Melaka sehingga pemimpin mereka Raja Haji gugur sahid dalam satu pertempuran di Teluk Ketapang, Melaka. Sharif Hidayatullah, salah seorang anggota Wali Sembilan yang diangkat menjadi sultan pertama di wilayah Ceribon, Pulau Jawa menurut riwayat pernah mengirim tentera lautnya dalam usaha membantu membebaskan Melaka dari Belanda.


Hubungan keluargaan melalui perkahwinan dan persaudaraan seagama menjadi teras kepada jalinan suatu keterikatan batin di antara pembesar alam melayu. Lagenda menceritakan Sultan Mansur Shah pernah berangkat ke Majaphit, di Pulau Jawa untuk berkahwin dengan Puteri Raden Galoh Candra Kirana iaitu anak kepada Raja Majapahit yang bernama Hayam Wuruk. Mubaligh besar Maulana Malik Ibrahim yang berperanan besar mengembangkan Islam di Pulau Jawa, sebelumnya telah berkahwin dengan puteri Raja Champa dan pernah bermukim di Pattani sebelum merentasi samudra untuk sampai ke Pulau Jawa. Apabila Melaka pula mengambilalih sebagai Serambi Mekah, Sunan Bonang dan Sunan Giri dari tanah Jawa menurut catatan dari Babad Tanah Jawi, pernah datang berguru di negeri itu.


Selat dan lautan yang mengalir di antara gugusan pulau-pulau dan Semenanjung Tanah Melayu di Nusantara sama sekali tidak menjadi penghalang kepada tumbuhnya satu peradaban alam melayu. Kesepakatan di antara penjajah seperti di rantau lain di seluruh dunia telah turut direncanakan di Nusantara. Dalam tahun 1824, Belanda yang tertekan dengan Perang Napoleon di Eropah telah menandatangani Perjanjian Hindia-Belanda dengan pihak Inggeris. Hasilnya Pulau Jawa yang di bawah jajahan Inggeris telah di tukar ganti dengan Melaka yang telah ditawan Belanda dari Portugis sejak tahun 1641. Orang Bugis yang berasal dari Pulau Sulawesi ketika itu muncul sebagai satu-satu kuasa peribumi, telah menyeberang sempadan yang digariskan penjajah sesama mereka untuk membantu pembesar Melayu di Kedah dan Perak dalam menghadapi serangan Siam. Namun kesan mendalam dari Perjanjian Hindia- Belanda ini membawa sehingga terbentuknya dua negara merdeka, Malaysia dan Indonesia seperti yang kita kenali harini.


Campurtangan Inggeris di Tanah Melayu selepas tahun 1824 sebenarnya menunjukkan pengiktirafan Inggeris sendiri terhadap kuasa Raja-Raja Melayu. Perjanjian yang ditandatangani di antara Raffle dan Sultan Johor, Francis Light dengan Sultan Kedah dan Perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak umpamanya merupakan satu perakuan dari pihak Inggeris bahawa negeri-negeri Melayu ini sudahpun bertuan. Apabila Inggeris bersetuju memberi kemerdekaan kepada Malaya, salah satu dokumen yang dimeterai ialah satu perjanjian yang dikenali sebagai Federation of Malaya Agreement, 1957 di antara Persuruhjaya Tinggi British (bagi pihak Ratu British) dan Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957.


Sejarah penentangan campurtangan Inggeris di Tanah Melayu pula adalah kisah pahit getir rakyat tempatan yang berakhir di tali gantung seperti yang berlaku kepada Tok Janggut di Kelantan dan Datuk Maharaja Lela di Perak. Ada yang jadi buruan Inggeris dan terpaksa menyembunyikan diri seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang dan ada juga yang dibuang daerah seperti yang terjadi ke atas Datuk Dol Said di Melaka. Pengorbanan pahlawan-pahlawan ini menyabung nyawa menentang penjajah Inggeris sebenarnya adalah kesinambungan dari satu perjuangan besar menentang penjajah umumnya di Nusantara. Pahlawan-pahlawan anti penjajah ini adalah nenek moyang orang-orang Melayu harini dan kepulauan Nusantara adalah kampungan halaman mereka. Memang mengguris hati apabila masyarakat Melayu yang berabad lama membina empayar dan beradaban, dan mempertaruhkan jiwaraga mempertahankan tempat tumpah darah mereka dikatakan pendatang di kampung halaman sendiri!


Inggeris tidak lupa akan sempadan yang diciptanya bersama Belanda berikutan perjanjian tahun 1824. Tambahan pula ada pemimpin dari kalangan orang Melayu yang dipelopori Ibrahim Yaakub, yang memperjuangkan kemerdekaan bersama Indonesia dalam semangat Melayu Raya. Menyadari hakikat ini, bantahan orang Melayu terhadap cadangan penubuhan Malayan Union yang memberi hak yang sama kepada semua penduduk Tanah Melayu ketika itu dan mengambilkira sokongan sebilangan mesyarakat Cina kepada perjuangan Parti Komunis Malaya, British akur dengan realiti semasa. Sebagai ganti, Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk yang kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan sebuah negara Malaya yang merdeka.


Menyusul satu masyuarat yang diadakan di London dalam bulan Januari 1956, satu suruhanjaya Perlembagaan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk. Mereka telah mengambilkira kepelbagaian latar belakang sejarah, ekonomi dan budaya rakyat negara ini sebelum memuatkannya di dalam cadangan mereka. Walau bagaimanapun Jawatankuasa Bertindak Tiga Pihak yang terdiri dari wakil British, wakil Raja-raja Melayu dan pihak Perikatan terpaksa ditubuhkan untuk memperhalusi lagi kesesuaian cadangan Suruhanjaya Reid. Selepas itu Perlembagaan Merdeka terpaksa melalui pengesahan Majlis Perundangan Persekutuan, Dewan Undangan Negeri-Negeri Melayu, Parlimen United Kingdom dan Ratu British.



Sepanjang 51 tahun merdeka, Perlembagaan Persekutuan menjadi paksi kepada kontrak sosial dan kerukunan hubungan kaum di negara ini. Malangnya segelintir golongan perkauman yang sering mendakwa memperjuangkan politik berbilang bangsa, kerapkali atas nama "semangat perlembagaan" memutar belitkan fakta dan mengungkit isu-isu yang sudah lama dipersetujui. Motif tuduhan Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negara ini, sebenarnya berunsur mencabar beberapa peruntukan yang sudah termaktub. Justru kenyataan khusus yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja yang melibatkan beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini adalah satu peringatan yang tepat pada masanya. Sekaligus kenyataan tersebut telah meletakkan duduk perkara sebenar.

Tuesday, October 14, 2008

Satu lagi percubaan dari kes Altantuya

Kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu sejak mula lagi telah mendapat perhatian khusus PKR sebagai satu "rahmat" untuk dijadikan sasaran terhadap Najib. "Rahmat" kerana "sedekah"pun telah diberi tafsiran yang songsang seperti yang berlaku di Perak. Dua orang anggota UTK dituduh membunuh dan Razak Baginda dituduh bersubahat di dalam kes itu. Hubungan akrab Razak Baginda selaku penasihat politik Najib membuka ruang dan kesempatan yang baik untuk dieksploitasi pihak pembangkang. Sejak itu bermulalah tomahan dan dakyah yang dicanang rapi dalam usaha mengaitkan Najib dengan kes ini.


Semasa berkempen di pilihanraya kecil Ijok lagi, Penasihat PKR Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai cukup bukti yang melibatkan Najib dengan kes Altantuya. Anwar berjanji akan mendedahkannya. Namun setelah sekian lama, Anwar masih belum mampu mengemukakan bukti keterlibatan Najib. Sehingga kini Anwar sendiri sekadar tumpang sekaki di atas tuduhan liar orang lain. Janji mendedahkan bukti ini, dan janji-janji lain yang menyusul kemudian dari Anwar (termasuk peralihan kuasa pada 16 september) rupanya hanyalah bagian dari omongan politiknya yang mempersonakan.


Bukti yang mula dihadapkan hanyalah sekeping gambar yang diselewengkan untuk menunjukkan kononnya Najib pernah bertemu Altantuya. Pihak pembangkangpun kemudian malu sendiri untuk mengakui gambar yang diselewengkan itu sebagai bukti keterlibatan Najib. Muncul pula Raja Petra dengan Akuan Bersumpahnya yang sumbernya entah siapa konon isteri Najib, Rosmah bersama sepasang suami-isteri terlibat sama pada malam pembunuhan wanita Mongolia itu. Timbul pula versi Bala yang loklak, sekejap membuat tuduhan Najib ada hubungan seks dengan Altantuya dan kemudian melalui Akuan Bersumpahnya yang kedua menafikan Akuan Bersumpahnya yang pertama. Akuan Bersumpah seterusnya cuba mempersendakan pegangan agama Najib yang kononnya beliau mengamalkan ritual hindu. Kemudian kisah Bala timbul semula dengan khabar angin Rosmah telah membayarnya RM5 juta supaya tutup mulut.


Percubaan menghubungkaitkan Najib dengan kes pembunuhan Altuntuya sehingga kini tidak menjadi kerana asas tuduhan yang dibangkitkan bersandar kepada fitnah semata-mata. Untuk memberi sedikit kredibiliti kepada fitnah ini, ditampilkannya dalam bentuk Akuan Bersumpah. Apalah daya seseorang dalam menangkis fitnah. Najib mengambil sikap berani dengan bersumpah dengan nama Allah di dalam masjid di Permatang Pauh yang beliau tidak pernah berjumpa atau mempunyai apa-apa hubungan dengan Altantuya. Setelah gagal mengemukakan bukti dan hanya menempek pada tuduhan liar orang lain, Anwar sekadar meremehkan sumpah tersebut.


Kali ini perhatian dialihkan kepada penglibatan Najib di dalam penyasatan pembunuhan Altantuya. Menerusi pertukaran maklumat dalam SMS di antara Najib dan bekas peguam Razak Baginda, Najib dikatakan memberitahu peguam tersebut Razak "will face a tentative charge but all is not lost". Persoalan berbangkit kononnya terhadap peranan yang dimainkan Najib di dalam penyasatan pembunuhan tersebut apabila beliau menggunakan perkataan "tentative charge" and "all is not lost". Berlandaskan ini sahaja, tuduhan dilemparkan bahawa Najib telah menyalahguna kuasanya.


Kalau seseorang dituduh mencuri misalnya, mestilah ada barang yang hilang. Niat sahaja atau mesej SMS sahaja tidak boleh dijadikan dalil untuk mengatakan kecurian telah berlaku. Demikianlah juga dengan tuduhan salahguna kuasa terhadap Najib. Kesan dari campurtangan Najib mestilah membawa tuduhan yang lebih ringan terhadap
Razak. Bagaimanapun dalam kes Altantuya, Razak dihadapkan dengan tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia itu, yang jika sabit kesalahan mesti dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Tanpa sebarang campurtangan sekalipun, itulah juga tuduhan paling berat yang boleh dikenakan terhadap Razak.


Dalam satu kes yang baru disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, seorang doktor yang dituduh membunuh isterinya telah dibenarkan ikat jamin. Mahkamah yang sering dituduh berat sebelah juga telah membenarkan Anwar Ibrahim diikat jamin dalam kes liwatnya yang sedang berjalan. Peguam Anwar yang tidak menyangka permohonannya dibenarkan memuji keputusan hakim kali ini sebagai adil. Dimanakah camputangan Najib apabila Razak Baginda yang dituduh bersubahat membunuh (bukan membunuh) terpaksa merengkok di penjara selama 20 bulan sebagai tahanan reman?


Razak Baginda juga mendapat liputan media arus perdana yang meluas dan menghinanya. Cerita yang disensasikan kononnya Razak telah berkahwin dengan Altantuya di Hong Kong, mereka sudah mempunyai seorang anak, Altantuya telah memeluk agama islam dan bermacam-macam lagi ternyata tidak dibuktikan di mahkamah. Keseluruhan publisiti yang diterima Razak tidak sedikitpun menunjukkan ada tangan ghaib yang melindunginya.


Seperti banduan lain, Razak mendapat layanan yang serupa. Tangannya juga digari, memakai pakaian seragam yang sama, makan makanan yang sama dan dihadkan juga masa bertemu dengan keluarga dan peguam. Pendeknya, Razak tidak mendapat satu apapun yang boleh dikatakan istimewa.


Besar kemungkinan ini bukanlah percubaan yang terakhir untuk mengaitkan Najib dengan kes Altantuya. Namun orangramai mulai sadar, Najib hanya dikaitkan dengan kes ini dalam "perbicaraan di luar mahkamah". Sambil mengharapkan orang akan lupa siapa dahulu yang mendabik dada dia punya cukup bukti, tomahan dan dakyah akan terus direkacipta kerana mereka tidak merasakan sedikitpun bersalah bahawa yang mereka lakukan sebenarnya fitnah.

Sunday, October 12, 2008

Kebijaksanaan Sendiri

Walaupun setelah dijajah hampir 450 tahun, apabila merdeka kita telah mengambil pendekatan sendiri sebagai  pedoman dalam hidup bermasyarakat. Faktor agama dan budaya yang pelbagai di dalam negara ini boleh mencetuskan persengketaan dan pertumpahan darah sesama kita. Menyadari hakikat ini, suatu kerjasama politik yang unik dan tersendiri telah diadakan dengan terbentuknya Parti Perikatan yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional.

Kita tidak terikut-ikut arus politik kiri yang bertiup kencang ketika itu di negara-negara yang baru merdeka seperti Indonesia dan Burma yang menghakmilik kekayaan negara dan menentang pelaburan asing yang dianggap neokolonialisma. Namun kita juga tidak membuta tuli mengikut sistem dua parti ala Amerika ataupun Great Britain. Kita pakai acuan sendiri yang berjaya membawa kestabilan untuk sekian lama. Hasilnya negara kita berjaya dibangunkan dengan begitu pesat dengan prasarana antara yang terbaik di Asia.

Dalam bidang ekonomi, akibat kesan penjajahan yang "pisah dan perintah", kaum-kaum di negara ini dapat dikenalpasti melalui kegiatan ekonomi mereka. Orang Melayu kebanyakannya di luar bandar sebagai penanam padi dan nelayan, orang Cina di bandar sebagai peniaga dan pekerja lombong bijih sementara orang India sebagai pekerja di ladang-ladang getah. Dasar ekonomi kapitalis tulin dengan pasaran terbuka akan hanya membiarkan keadaan berpanjangan dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran gunatenaga.

Campurtangan pihak kerajaan dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru dengan  matlamat serampang dua matanya iaitu  menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum merupakan kebijaksanaan kita  dalam menangani gejala ini. Meskipun berbagai tuduhan dilemparkan dari dalam dan luar negara, tidak dapat dinafikan bertitik-tolak dari DEBlah  semangat muhibbah dan keharmonian kaum yang punah akibat trajedi 13 Mei telah dapat dipupuk semula.

Dalam pertengahan tahun 1997, kemelesetan ekonomi  terjadi secara tiba-tiba berpunca dari angkara serangan penyangak matawang keatas matawang bhat. Beberapa bulan sebelum itu, pakar-pakar ekonomi barat termasuk dari IMF dan Bank Dunia memuji asas ekonomi kita yang diiktiraf kukuh. Kesan jangkitan dari bhat, nilai ringgit kita telah merosot dengan begitu mendadak dan keadaan panik terus mendorong penjualan ringgit di pasaran matawang. Keadaan ini seterusnya menjejaskan pasaran ekuiti dengan nilai saham di bursa merudum begitu teruk. Penjualan saham oleh pihak bank setelah peminjam gagal menambah nilai saham yang dicagarkan tambah memburukkan keadaan.

Formula yang dianjurkan oleh IMF ketika itu termasuk menaikkan kadar faedah pinjaman dan menyingkatkan hutang lapuk dari 6 bulan kepada 3 bulan menambah penderitaan golongan peniaga dan rakyat umumnya. Bantuan kerajaan kepada syarikat tempatan yang terjejas dikeji sebagai "bailout" kepada kroni. Malangnya ada juga rakyat negara ini yang ghairah menyokong saranan IMF dan Bank Dunia.

Tanpa menghiraukan cemuhan penyangak matawang, IMF, Bank Dunia dan negara-negara barat umumnya, kita mengambil langkah-langkah yang menyanggah nasihat mereka termasuk menggantung nilai pertukaran ringgit pada kadar yang tetap, menubuhkan Danamodal dan Danaharta serta menstabilkan kadar faedah dan mengembalikan tempuh hutang lapuk pada tempuh sebelumnya. Ternyata kebijaksanaan sendiri satu rahmat bagi rakyat negara ini.Di Indonesia dan Thailand umpamanya yang menurut telunjuk IMF dan Bank Dunia, kesengsaraan rakyat bertambah parah dan syarikat-syarikat tempatan dipaksa jual kepada pelabur asing.

Kini apabila satu demi satu bank di Amerika dan Eropah jatuh muflis, pekej penyelamat yang dikeji dahulu sebagai "bailout" tidakpun berbangkit. Peruntukan luar biasa sebanyak USD700 billion oleh kerajaan Amerika dikatakan mungkin tidak mencukupi sementara di Kesatuan Eropah, kerajaan Jerman, Britain, Peranchis, Belanda, Sepanyol, Portugal dan Austria telah sepakat untuk menyediakan dana yang jauh lebih besar sebanyak E1.7 trillion. Menoleh ke belakang, mujurlah kita tidak diperbodohkan!

Pendekatan kita dalam menjamin keselamatan dalam negara harini menerima cemuhan yang sama dari dalam dan luar negara. Akta Keselamatan Dalam Negeri dituduh sebagai zalim dan bertentangan dengan Undang-Undang Antarabangsa khususnya kerana ia membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara. Malangnya pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasionalpun terikut-ikut rentak yang dimainkan oleh orang luar dan kuncu-kuncu mereka di kalangan pembangkang.    

Bahawa kita terdiri dari berbilang ugama dan budaya tidak menjadi masalah kepada penjajah Inggeris. Malah merekalah yang mencorak sebegitu rupa demi kepentingan ekonomi mereka. Justru, ISA diperkenalkan Inggeris bertujuan untuk membenteras kegiatan komunis yang mengangkat senjata berjuang untuk menubuhkan sebuah negara komunis. Tektik perjuangan komunis mensabotaj prasarana dan kerukunan hidup bermasyarakat dianggap wajar untuk ditahan dibawah ISA.

Di Britain sekitar tahun darurat 1948-1960 terdapat juga Parti Komunis yang dibenarkan mengambil bahagian dalam arena politik di sana. Mereka berjuang mengikut lunas undang-undang seperti Parti Buruh dan Parti Konservatif. Ini bererti yang diperangi di negara ini ialah tektik komunis yang mensebotaj negara dan bukannya fahaman Karl Marks yang  kemudiannya dikembangkan oleh Lenin.          

Amerika dan dunia barat yang sering mencemuh ISA kononnya hanya wajar digunakan dalam memerangi ancaman komunis, sekali lagi berlagak "cakap tak serupa bikin" apabila dikejutkan dengan trajedi 11 September. Mustahil puak Al Qaeda yang mereka perangi habis-habisan menganut fahaman komunis! Bagaimanapun oleh kerana keselamatan negara mereka terancam, mereka boleh pula memperkenalkan Patriot Act dan menahan sesiapa yang disyaki pengganas tanpa bicara.

Pengkagum dunia barat yang lantang menjuarai hak asasi manusia kini berbelah bagi diantara yang menuntut ISA dihapuskan dan mereka yang mengakui kewajarannya dalam menangani masalah komunis dan pengganas. Isu perkauman dan ugama yang mencetuskan perbalahan dibeberapa negara seperti Bosnia, India dan Sri Langka barangkali belum menggamit perhatian mereka.

Kesilapan kadang-kadang disengajakan apabila soal keselamatan dalam negeri dilihat dari sudut perundangan semata-mata. Dalam kes bunuh atau rogol umpamanya, kecuaian pihak pendakwa dalam soal-soal teknikal boleh mengakibatkan penjenayah dibebaskan. Kalau sampai ini yang terjadi dalam kes keselamatan dalam negeri, adalah dibimbangi kaum-kaum yang berbalah akan meletakkan undang-undang dalam tangan mereka sendiri.

Kestabilan yang kita kecapi selama ini boleh tergugat sekiranya timbul situasi di mana keadaan sudah di luar kawalan pihak polis, namun Yang Arif  berpendapat ianya belum lagi sampai ke tahap yang mengancam keselamatan negara. Justru, betapa hebat sekalipun seorang hakim dalam mentafsir undang-undang di dalam kamarnya, soal samada satu tindakan yang dilakukan itu merupakan ancaman kepada keselamatan negara ataupun tidak, wajarlah ditentukan oleh pihak yang berwajib.

Demikianlah, pengalaman sejak merdeka mengajar kita bersikap terbuka dalam mempelajari peradaban luar untuk disesuaikan dengan keadaan di dalam negara. Bagaimanapun pengalaman juga mengajar kita untuk tidak telan bulat-bulat apa yang disarankan barat kerana apabila tiba masanya mereka boleh berdalih untuk tidak mengikuti apa yang mereka sendiri sarankan.                           

Tuesday, October 7, 2008

Bumi yang dipijak, Langit yang dijunjung

Filem P. Ramlee memang banyak membawa mesej yang tersirat buat masyarakat. Dalam "Sesudah Subuh" seniman agung itu memaparkan betapa pentingnya institusi keluarga dalam kehidupan seorang insan bernama suami sekaligus ayah. Namun tidak kurang hebatnya ialah mesej perpaduan kaum yang berjaya ditonjolkan.Ceritanya berkisar tentang kehidupan Ariffin yang hidup sepi tidak dipedulikan oleh isteri dan anak-anaknya dan bagaimana dia diselamatkan oleh sepasang suami-isteri (Alice dan Alan) yang berketurunan Cina dan dibela oleh teman wanita anaknya yang berketurunan India. Melihat gelagat sinario masyarakat berbilang kaum kita harini, perpaduan kaum seperti yang digambarkan P. Ramlee dalam filem ini kelihatannya terlalu indah untuk sebuah realiti.

Namun sesuatu yang menakjubkan memang pernah kita saksikan dalam arena bolasepak bilamana gandingan mantap Mokhtar Dahari di bahagian hadapan dan Soh Chin Aun di barisan pertahanan serta Arumugam selaku penjaga gol membuat bulu roma kita berdiri dan stadium Merdeka tenggelam dalam sorakan semangat satu bangsa.Kita bangga, kita kecewa, kita mengalirkan airmata bersama. Yang pasti kita restui penampilan mereka sebagai anak sebuah bangsa Malaysia.

Semangat yang sama dapat dirasakan apabila Andre Goh menyanyikan lagu "Mas Merah" atau D.J. Dave mendendangkan lagu "Menjelang Hari Raya". Kefasihan, penghayatan dan kemerduan suara mereka membuat kita cukup terhibur.Kita berlapang dada menerima kehadiran mereka sebagai biduan dan seniman di persada seni tanahair. Kaum atau keturunan langsung tidak menjadi persoalan.

Bagaimanapun setelah lebih 50 tahun merdeka, masyarakat berbilang keturunan negara ini  menjadi semakin renggang dan terpisah. Slogan "Perpaduan dalam Perbezaan" atau "Unity in Diversity" hanya membuat kaum-kaum etnik mahu kekal dalam identiti  budaya masing-masing. Lebih meruncingkan apabila situasi ini mendapat sentuhan ahli politik yang mendakwa kononnya berjuang atas dasar politik berbilang kaum.

Kelicikan mereka bergabung tenaga dalam  memutar-belitkan fakta berjaya menimbulkan kekeliruan . Berbagai hujah dimajukan untuk meremeh dan mencabar kewarasan budaya Melayu selaku paksi kepada budaya nasional. Orang Melayu dikatakan berasal dari seberang, justru sama seperti kaum pendatang yang lain. Bahasa ibunda dan budaya kaum-kaum lain adalah satu hak yang dijamin oleh perlembagaan. Dunia tanpa sempadan dan arus globalisasi sebagai asas untuk menerima realiti baru dan menolak nasionalisma sempit. Kemunculan Negara Cina sebagai kuasa ekonomi dunia meningkatkan kepentingan bahasa Mandarin dan sejajar dengan ini usaha harus digiatkan di dalam pembelajaran bahasa Mandarin.      

Terselindung di balik tabir, pada hakikatnya agenda sebenar mereka adalah kepentingan, bahasa dan budaya sepihan dari kaum masing-masing. Sebarang usaha memertabatkan bahasa Malaysia dan budaya nasional digambarkan sebagai lapuk dan tidak peka dengan tuntutan zaman yang serba kompetitif. Usaha menggunakan papantanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang dan desakan kearah yang sama ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah manifestasi daripada agenda ini.     

Tidak dapat dinafikan, harini generasi muda kita dari pelbagai keturunan bertutur dalam bahasa yang berbeda, menonton filem yang berbeda, belajar di sekolah yang berbeza dan hidup dalam lingkungan budaya yang berbeda. Tidak seperti di Indonesia atau Thailand di mana bahasa kebangsaan dan budaya mereka menjadi tunjang kepada perpaduan nasional, di negara ini perpaduan kaum rapuh bersandar pada semangat toleransi dan kompromi semata.

Setelah berusaha menggagalkan perpaduan, mereka lantang pula mengkritik perpaduan telah gagal. Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dikambinghitamkan. Dalam satu nada, pemimpin politik yang kononnya berjuang atas dasar berbilang kaum samada dari kalangan pembangkang mahupun kerajaan menuntut dasar ekonomi yang lebih saksama dalam pembentukan satu bangsa Malaysia. Mantra terbaru mereka ialah supaya ditubuhkan satu parti politik untuk semua rakyat malaysia.

Orang Melayu berlapang dada menerima Andre Goh atau D.J.Dave misalnya sebagai seniman tanahair kerana jiwa seni mereka tidak berbeda dengan jiwa seni S.M Salim atau Ahmad Jais. Kita juga berlapang dada menerima Lim Swee Tin sebagai penyair tanahair sama seperti kita menerima A. Samad Said kerana jiwa puisi mereka sama. Kerana jiwa seni dan puisi mereka berpaksi pada bumi ini dan langit ini!

Selagi pemimpin politik di negara ini tidak mempunyai jiwa yang berpaksi pada bumi ini dan langit ini, tidak menganuti budaya alam jagat sebelah sini, mereka ibarat penyanyi atau penyair pujaan kaum mereka sendiri. Tidak lebih dari itu. Politik perkauman yang menyamar sebagai politik berbilang kaum tidak bakal membawa kita menuju Bangsa Malaysia.   

Monday, October 6, 2008

Politik yang lebih berhemah

Hebuh dilaungkan di seantero Negara khususnya oleh penyokong PKR, ‘Suara Rakyat Suara Keramat’. Apabila rakyat memberi kemenangan besar kepada pihak pembangkang pada PRU ke12 yang lalu, BN akur dan menghormatinya. Namun kemenangan BN di Dewan Rakyat juga adalah suara Rakyat yang harus dihormati kalau benar ‘Suara Rakyat Suara Keramat’.

Pas cukup mengerti hakikat ini. BN dan UMNO khususnya membenarkan PAS terus memerintah Kelantan walaupun dengan majoriti satu kerusi. Barangkali kerana itulah apabila isu melompat parti mula timbul untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat, Mursyidul Am Pas Dato Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahwa yang melompat parti ini “tak serupo manusio”.

DAP juga sejak awal lagi melalui Pengerusinya Karpal mengumumkan pendirian partinya yang menghormati proses demokrasi. Baru-baru ini DAP mengulangi pendirian mereka bahawa mereka “prefer election than defection”. Dan terakhir Naib Pengurusinya, Tunku Abdul Aziz menegaskan bahawa pembentukan kerajaan dengan melompat parti adalah tidak beretika.

Sebenarnya apabila rakyat memilih seseorang dari parti tertentu untuk mewakili mereka di Dewan Rakyat, keputusan rakyat itu adalah satu amanah yang diberi kepada parti. Oleh yang demikian, sekiranya individu yang menang atas tiket parti mahu keluar parti, dari segi etikanya dia harus meletak jawatan dan bertanding semula. Inilah sebabnya mengapa Majlis Peguam mengatakan melompat parti itu meskipun dibenarkan dari segi undang-undang tetapi tidak betul dari segi moral.

Oleh kerana melompat parti tidak mencerminkan hasrat rakyat yang sebenar dalam proses demokrasi dan dianggap tidak betul dari segi moral dan ethik, maka dimana-manapun didunia ahli politik yang menjunjung mesyarakat madani tidak membentuk kerajaan melalui kaedah ini. Sebarang percubaan ke arah ini hanya menunjukkan nilai dan budaya politik rendah yang menjadi pedoman seseorang pemimpin.

Di negara ini, fenomena melompat parti yang nyata adalah sesuatu perbuatan yang tidak bermoral dan berethika telah menjadi pendekatan utama Anwar Ibrahim dalam merialisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri. Kehebatannya ialah beliau nampaknya berjaya menghalalkan amalan politik ini tanpa merasa sedikit canggungpun kalau-kalau ia akan mencemar maruah politiknya.

Sejak beberapa bulan yang lalu, Anwar melancarkan perang psikologinya dengan mencanangkan di mana-mana yang beliau pasti akan mengambilalih kerajaan pada 16 September. Kepujian harus diberi kepadanya kerana berjaya meyakinkan banyak pihak. Beliau senentiasa kelihatan serius, tegas dan bersungguh setiap kali membuat kenyataan. Kenyataannya pula diulang berkali-kali di dalam rapat-rapat dan sidang akhbar yang diadakan. Hasilnya ramai di kalangan penyokong pembangkang yang percaya dan tidak kurang di kalangan penyokong kerajaan yang menjadi gusar dibuatnya.

Di sini Anwar berjaya membawa perhatian penyokongnya bersatu dalam satu fokos dan dan bergerak dalam satu semangat, sementara dalam waktu yang sama menimbulkan keraguan di kalangan penyokong BN. Namun kejayaan lebih besarnya ialah apabila orang tertumpu pada soal percaya atau tidak dengan pembentukan kerajaan barunya dan tidak lagi dengan isu melompat parti yang sebelum ini mempunyai konotasi yang tidak bermoral. Pemimpin DAP dan PAS yang awalnya nampak berprinsip dan mahu mengambilalih kuasa dengan cara yang bermaruah bagaikan disihir dengan janji politik Anwar.

16 September akhirnya tiba. Dalam sidang akhbarnya, Anwar tanpa segan silu mengumumkan sudah berjaya mempunyai cukup jumlah MP yang melompat dari BN untuk mengambilalih kerajaan. Senarai nama Ahli Yang Berhormat yang melompat parti tidak dapat diumumkan kononnya takut nanti akan ditahan oleh kerajaan di bawah ISA. Namun beliau mohon untuk berjumpa dengan Pak Lah untuk membincangkan soal transisi kuasa yang aman dan teratur. Oleh kerana Pak Lah enggan berjumpa, beliau menuntut supaya sessi tergempar Parliament diadakan selewat-lewalnya 23 September untuk beliau mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Dari satu isu moral mengenai pengambilan kuasa yang sebenarnya menemplak suara rakyat,tanpa disadari kita berdepan pula dengan temberang politik lagak penjual ubat jalanan.Bedanya tokoh politik berbicara soal siasah dan kenegaraan.Janjinya, menifestonya dan wawasannya jadi pegangan umah yang dipimpinnya.

Kalau memang benar akan berlaku peralihan kuasa seperti yang dijanjikan pada 16 September, tentulah ia melibatkan perubahan polisi dan dasar kerajaan. Natijahnya, ahli perniagaan dan para pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat. Akhirnya setelah berlanjutan tentu membawa kesan negatif pada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Alasan Anwar tidak dapat mengumumkan senarai Ahli Parlimen yang melompat parti kerana takut ditahan di bawah ISA sangat meremehkan kematangan fikiran rakyat. Surat beliau yang ditandatangani bersama pimpinan Pakatan Rakyat kepada Perdana Menteri juga jauh berbeda dengan apa yang didakwa sebagai permohonan satu transisi kuasa yang aman dan teratur. Ringkasnya propaganda politik Anwar kali ini mengecewakan banyak pihak termasuk penyokong Pakatan Rakyat sendiri.

Rasanya tidak berlebihan kalau rakyat terbanyak di negara ini mengharapkan politik yang lebih berhemah dan bukan sekadar laungan atau slogan semata-mata. Suara Rakyat Suara Keramat mesti didokong oleh setiap yang menjunjung masyarakat madani.

Bagai Menunggu Buah Tak Jatuh

Sejak Pilihanraya kecil Ijuk, Anwar telah membangkitkan berbagai isu untuk mencemar kredibiliti kerajaan. Cara dan gaya dia melontarkan persoalan memang menarik, malah memikat. Antara isu yang dibangkitkan ialah isu kes Altantuya, isu kenaikan harga minyak dan isu peralihan kuasa pada 16 september. Dengan kelebihan retorika, beliau nampaknya berjaya mempengaruhi sebahagian besar masyarakat Malaysia . Namun disebalik dramanya yang menyakinkan, timbul tandatanya sejauh manakah kebenaran faktanya?

Persoalan ini jarang berbangkit di kalangan penyokongnya. Mereka terpesona dengan susunan kata-kata gaya Indonesia, terhibur dengan lawak jenaka dan taksub dengan nada emosi tinggi yang membakar jiwa. Setiap persoalan yang dibawa, dihubungkaitkan dengan orangramai dengan penegasan “ini bukan soal Anwar, tapi soal rakyat!” . Hasilnya fikiran kritis tenggelam dalam semangat yang meluap-luap.

Cuba untuk kali ini, kita perhatikan isu Altantuya yang begitu ghairah dibangkitkan. Anwar sebenarnya bukanlah berminat sangat untuk membela perempuan Mongolia itu. Yang dituduh membunuhnya adalah dua anggota UTK dan Razak Baginda dituduh bersubahat di dalam pembunuhan itu . Sejak di Ijok lagi, Anwar nampak potensi besar dalam mengeksploitasi kes ini. Lalu kes yang tidak ada langsung kaitan dengan Najib diberi satu dimensi di mana perempuan Mongolia itu kononnya ada hubungan dengan Najib.

Hubungan akrab Razak Baginda selaku penasihat politik Najib memberi kesempatan kepada Anwar untuk mengaitkan Najib dengan kes ini. Dari saat itu bermulalah tomahan yang dicanang dengan begitu rapi dan didedahkan sebagai skandal Najib dan kononnya beliau ada cukup bukti . Sehingga harini di manakah buktinya?

Bukti yang mampu dihadapkan hanyalah sekeping gambar yang diselewengkan untuk menunjukkan kononnya Najib pernah bertemu Altantuya. Pihak pembangkangpun kemudian malu sendiri untuk menjadikan gambar yang diselewengkan itu sebagai bukti keterlibatan Najib. Orangramai yang mengharapkan bukti dari Anwar bagai menunggu buah tak jatuh! Bila Bala membuat Akuan Bersumpahnya yang pertama dan mengaitkan Najib dengan Altantuya, Anwar tumpang sekaki dan muncul bagaikan manusia paling bahagia pada hari itu. Malangnya, keesokan harinya Bala membuat Akuan Bersumpah Kedua dan menafikan penglibatan Najib seperti yang didakwanya.

Tentulah dengan kenyataan yang bercanggah dalam tempoh waktu tidak sampai 24jam, Bala menarik pesepsi yang meragukan. Namun Anwar dan sekutunya memilih hanya untuk mempercayai Akuan Pertama Bala. Siapakah Bala dan adakah apa yang didakwanya memang dalam pengetahuannya sendiri? Bala hanyalah seorang perisik peribadi yang dilantik oleh Razak Baginda untuk menjaga keselamatan diri dan keluarganya. Bala tidak kenal Najib secara peribadi dan tidak tahu menahu samada Najib ada apa-apa hubungan dengan Altantuya. Keadaan ini tidak dipertikaikan oleh Bala mahupun peguamnya. Bala membuat dakwaan kononnya berasaskan apa yang diberitahu kepadanya oleh Razak Baginda.

Kenyataan Bala itu sebenarnya tak ubah seperti satu kenyataan yang datangnya dari seorang pekerja yang berkhidmat untuk salah seorang yang dekat dengan Anwar. Umpamanya orang gaji Syed Husin atau pemandu Tian Chua yang memburukkan Anwar. Mereka tidak pernah kenal Anwar secara peribadi tetapi mendakwa Syed Husin atau Tian Chua yang memberitahu mereka Anwar terlibat dengan sesuatu skandal. Pada hakikatnya, dakwaan Bala tidak lebih daripada kenyataan jenis ini.

Kalau benar Anwar mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Najib dengan Altantuya seperti yang telah dijajanya di merata tempat sejak Pilihanraya Kecil Ijok lagi, orangramai mula tertanya-tanya, di manakah buktinya? Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, apabila Bala membuat Akuan Bersumpahnya yang pertama, Anwar tampil bangga di sidang akhbar untuk menempek pada kenyataan Bala dengan sindirin sinis terhadap Najib dan tuduhan liar kepada pihak polis dan pendakwa.

Ghairah dengan sidang akhbar ini yang berjaya menarik perhatian media dalam dan luar negara, penyokong dan sekutu Anwar terpengaruh dan lupa bahawa kenyataan Bala ini begitu rapuh untuk dijadikan sandaran kepada keterlibatan Najib dengan kes Altantuya . Kalau kenyataan jenis ini mahu diterima, bayangkan betapa jauh dan terpesongnya kita dari keadilan yang mereka sendiri laungkan.

Kenyataan Razak Baginda sendiri tentulah lebih penting. Bagaimana kalau Razak mengatakan beliau tidak pernah memberitahu kepada Bala apa yang didakwanya tentang Najib? Anwar dan pengikutnya pasti mengatakan Bala dalam Akuan Bersumpah pertamanya berkata benar dan Razak berbohong. Bagaimana kalau Razak bersumpah dengan nama Allah? Sumpah Razak akan diperlekehkan dengan bermacam-macam dalil dan Bala tetap dianggap benar walaupun dia sendiri dalam Akuan Bersumpah keduanya mengatakan apa yang didakwanya tentang Najib tidak betul. Kan pelik?

Yang jelas Bala bukanlah kenalan atau sekutu Najib yang rapat. Apa yang didakwanya bukan berasaskan pengtahuannya sendiri. Keadaannya berbeda bila Ezam, Nala atau Saiful yang mendakwa mempunyai pengalaman tertentu dengan Anwar. Mereka memang pernah mempunyai hubungan langsung dengan Anwar.

Meskipun berbagai tomahan terus dilemparkan kepada Najib untuk mengaitkan dirinya dengan kes Altantuya, namun sehingga harini tidak ada satu buktipun dapat dikemukakan. Demi menegakkan kebenaran, Najib bersumpah di Permatang Pauh yang beliau tidak pernah berjumpa atau mempunyai apa-apa hubungan dengan Altantuya. Apapun dalil yang dicanang untuk memperkecilkan sumpah tersebut, hakikatnya Najib jelas dalam consciencenya dan beliau berani untuk mengatakan yang hak.

Menjelang Perhimpunan Agung Umno dan peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib, rasanya percubaan untuk mengaibkan Najib dengan kes Altantuya akan diperhebatkan. Cerita karut yang tak masuk akal dan kadang-kala melucukan disebar luas sebagai permainan politik pembangkang yang belum pernah kita temui sebelum ini. Yang penting bagi mereka, rupa ada gayapun ada. Tatasusila, etika dan kebenaran langsung tidak dihiraukan. Malangnya kerana terkesima dengan Anwar, sekutunya DAP dan PAS sanggup mengorbankan pendekatan perjuangan mereka yang lebih berhemah selama ini dan memilih jalan yang lebih rendah.