Tuesday, October 21, 2008

Agenda yang terselindung

Dunia sudah berubah. Dunia sekarang adalah dunia tanpa sempadan. Dalam dunia tanpa sempadan, nasionalisma sempit sudah tidak ada tempat lagi. Nasionalisma sempit dihubungkaitkan dengan perkauman. Politik perkauman suatu yang lapuk dan ketinggalan zaman. Era sekarang ialah era politik berbilang bangsa. Politik berbilang bangsa adalah jawapan kepada pembentukan Bangsa Malaysia. Laungan ke arah ini disebut dan diulang oleh ahli politik pembangkang dan dari kalangan komponen Barisan Nasional. Media arus perdana turut bergandingan dengan media siber dalam meniupkan sentimen serupa. Rentetan dari satu agenda bersama, terakhir Pemuda Gerakan mengusulkan supaya parti-parti komponen dibubarkan dan semua ahli bergabung dalam satu parti politik Barisan Nasional yang berjuang atas dasar berbilang bangsa.


Bunyinya memang sedap. Namun maksudnya terselindung. Sebarang usaha yang kelihatan bertentangan dengan gelombang perubahan ini dianggap sudah tidak relevan dengan realiti Malaysia harini. Kesan sampingannya, benarlah seperti pengamatan Tun Mahathir. Harini kita jadi "racist" jika cuba membela nasib orang Melayu. Malah harini kita juga dikatakan kolot dan perkauman jika mendaulatkan Bahasa Malaysia. Malangnya, ramai juga yang termakan dengan propaganda ini.


Sebenarnya politik berbilang bangsa telahpun diamalkan di negara ini dengan cara kita sendiri melalui Parti Perikatan yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional. Tidak seperti kerajaan campuran yang dibentuk di negara lain ataupun di kalangan Pakatan Rakyat sendiri, semua parti komponen BN bertanding diatas satu tiket dan bernaung di bawah satu menifesto. Melalui mekanisma ini, semua kaum di negara ini dapat berkongsi kuasa dan diwakili di dalam kerajaan.


Bayangkan seandainya parti komponen BN bergabung menjadi satu parti politik. Berkemungkinan besar satu dua kaum sahaja yang akan mendominasinya. Orang Melayu yang datang dari UMNO mungkin membentuk majoriti terbesar dalam perwakilan ke Perhimpunan Agung dan seterusnya menyapu bersih jawatan penting. Ahli dari keturunan minoriti akan rasa terpinggir dan tidak puas hati. Ketika itu, dari segi nama dan perlembagaan sahaja BN berbilang bangsa, pada praktiknya lain lagi.


Pada realitinya, bukankah ini keadaan sebenar parti-parti politik seperti DAP, Gerakan dan PPP yang mengaku sebagai sebuah parti politik berbilang bangsa? Dominasi satu-satu kaum dalam parti-parti politik ini sangat menyerlah. DAP terpaksa melantik Tuanku Abdul Aziz sebagai seorang Naib Pengurusi parti tersebut supaya nampak ada wakil orang Melayu di kalangan penjawat jawatan terpenting parti itu. Perwakilan Gerakan pula tidak memilih Dr Arsharuddin, walaupun beliau satu-satunya wakil orang Melayu yang bertanding jawatan Naib Presiden. PPP lebih sinonim dengan masyarakat India, walaupun Presiden parti itu boleh menafikannya.


Sebenarnya politik berbilang bangsa seperti yang dilaung-laungkan hanyalah tabir yang menyembunyikan aganda perkauman. Berbanding Agenda Nasional yang telah disimpul erat dalam satu kontrak sosial dan termaktub di dalam Perlembagaan, agenda perkauman mengungkit semula perkara-perkara yang telah disepakati dan memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum sebagai masyarakat serpihan dari satu tamadun luar. Akibatnya masyarakat kita, terutamanya generasi muda bersekolah di sekolah yang berbeda, bertutur dalam bahasa yang berbeda, menonton filem yang berbeda dan hidup dalam lingkungan budaya yang berbeda. Bahana politik berbilang bangsa, masyarakat berbilang kaum kita jadi bertambah renggang dan terpisah.


Malangnya, harini pandangan umum telah berjaya diterbalikkan. Tuntutan yang berbau perkauman satu masa dahulu, kini diwangikan sebagai sebahagian dari tuntutan masyarakat moden dan liberal. Tindak tanduk yang biadab dan melampau digambarkan sebagai satu hak asasi manusia dalam masyarakat madani. Kebebasan memaki hamun dan menabur fitna disajikan sebagai satu lagi ciri dari keterbukaan masakini. Ahli politik berbilang bangsa pula diberi imej sebagai tokoh yang tegas menentang rasuah dan penindasan pihak berkuasa terhadap rakyat.


Usul supaya setiap parti dalam BN, termasuk UMNO dibubarkan dan semua ahli bergabung dalam sebuah parti mustahil diterima buat masa ini. Prasyarat sebelum usul itu dapat diterima ialah semua ahli parti BN yang berbilang bangsa mestilah mempunyai aspirasi perjuangan yang sama. Perkara-perkara yang telah disepakati sejak merdeka mestilah dijadikan matlamat bersama untuk dipertahankan. Dalam hal ini, kenyataan Ketua Wanita Gerakan sendiri yang mengatakan orang Melayu sebagai kaum pendatang tentulah
terkeluar dari konteks perjuangan BN yang berbilang bangsa seperti yang diusulkan.


Usul supaya semua parti dalam BN bergabung dikemukakan walaupun sudah dijangkakan sejak mula ia akan ditolak diperingkat Majlis Tertinggi BN. Pucuk pinpinan BN sekali lagi akan kelihatan tidak seiring dengan arus perubahan zaman. Tempiasnya menjurus kepada UMNO yang nampak perkauman.

No comments: