Filem P. Ramlee memang banyak membawa mesej yang tersirat buat masyarakat. Dalam "Sesudah Subuh" seniman agung itu memaparkan betapa pentingnya institusi keluarga dalam kehidupan seorang insan bernama suami sekaligus ayah. Namun tidak kurang hebatnya ialah mesej perpaduan kaum yang berjaya ditonjolkan.Ceritanya berkisar tentang kehidupan Ariffin yang hidup sepi tidak dipedulikan oleh isteri dan anak-anaknya dan bagaimana dia diselamatkan oleh sepasang suami-isteri (Alice dan Alan) yang berketurunan Cina dan dibela oleh teman wanita anaknya yang berketurunan India. Melihat gelagat sinario masyarakat berbilang kaum kita harini, perpaduan kaum seperti yang digambarkan P. Ramlee dalam filem ini kelihatannya terlalu indah untuk sebuah realiti.
Namun sesuatu yang menakjubkan memang pernah kita saksikan dalam arena bolasepak bilamana gandingan mantap Mokhtar Dahari di bahagian hadapan dan Soh Chin Aun di barisan pertahanan serta Arumugam selaku penjaga gol membuat bulu roma kita berdiri dan stadium Merdeka tenggelam dalam sorakan semangat satu bangsa.Kita bangga, kita kecewa, kita mengalirkan airmata bersama. Yang pasti kita restui penampilan mereka sebagai anak sebuah bangsa Malaysia.
Semangat yang sama dapat dirasakan apabila Andre Goh menyanyikan lagu "Mas Merah" atau D.J. Dave mendendangkan lagu "Menjelang Hari Raya". Kefasihan, penghayatan dan kemerduan suara mereka membuat kita cukup terhibur.Kita berlapang dada menerima kehadiran mereka sebagai biduan dan seniman di persada seni tanahair. Kaum atau keturunan langsung tidak menjadi persoalan.
Bagaimanapun setelah lebih 50 tahun merdeka, masyarakat berbilang keturunan negara ini menjadi semakin renggang dan terpisah. Slogan "Perpaduan dalam Perbezaan" atau "Unity in Diversity" hanya membuat kaum-kaum etnik mahu kekal dalam identiti budaya masing-masing. Lebih meruncingkan apabila situasi ini mendapat sentuhan ahli politik yang mendakwa kononnya berjuang atas dasar politik berbilang kaum.
Kelicikan mereka bergabung tenaga dalam memutar-belitkan fakta berjaya menimbulkan kekeliruan . Berbagai hujah dimajukan untuk meremeh dan mencabar kewarasan budaya Melayu selaku paksi kepada budaya nasional. Orang Melayu dikatakan berasal dari seberang, justru sama seperti kaum pendatang yang lain. Bahasa ibunda dan budaya kaum-kaum lain adalah satu hak yang dijamin oleh perlembagaan. Dunia tanpa sempadan dan arus globalisasi sebagai asas untuk menerima realiti baru dan menolak nasionalisma sempit. Kemunculan Negara Cina sebagai kuasa ekonomi dunia meningkatkan kepentingan bahasa Mandarin dan sejajar dengan ini usaha harus digiatkan di dalam pembelajaran bahasa Mandarin.
Terselindung di balik tabir, pada hakikatnya agenda sebenar mereka adalah kepentingan, bahasa dan budaya sepihan dari kaum masing-masing. Sebarang usaha memertabatkan bahasa Malaysia dan budaya nasional digambarkan sebagai lapuk dan tidak peka dengan tuntutan zaman yang serba kompetitif. Usaha menggunakan papantanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang dan desakan kearah yang sama ke atas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adalah manifestasi daripada agenda ini.
Tidak dapat dinafikan, harini generasi muda kita dari pelbagai keturunan bertutur dalam bahasa yang berbeda, menonton filem yang berbeda, belajar di sekolah yang berbeza dan hidup dalam lingkungan budaya yang berbeda. Tidak seperti di Indonesia atau Thailand di mana bahasa kebangsaan dan budaya mereka menjadi tunjang kepada perpaduan nasional, di negara ini perpaduan kaum rapuh bersandar pada semangat toleransi dan kompromi semata.
Setelah berusaha menggagalkan perpaduan, mereka lantang pula mengkritik perpaduan telah gagal. Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dikambinghitamkan. Dalam satu nada, pemimpin politik yang kononnya berjuang atas dasar berbilang kaum samada dari kalangan pembangkang mahupun kerajaan menuntut dasar ekonomi yang lebih saksama dalam pembentukan satu bangsa Malaysia. Mantra terbaru mereka ialah supaya ditubuhkan satu parti politik untuk semua rakyat malaysia.
Orang Melayu berlapang dada menerima Andre Goh atau D.J.Dave misalnya sebagai seniman tanahair kerana jiwa seni mereka tidak berbeda dengan jiwa seni S.M Salim atau Ahmad Jais. Kita juga berlapang dada menerima Lim Swee Tin sebagai penyair tanahair sama seperti kita menerima A. Samad Said kerana jiwa puisi mereka sama. Kerana jiwa seni dan puisi mereka berpaksi pada bumi ini dan langit ini!
Selagi pemimpin politik di negara ini tidak mempunyai jiwa yang berpaksi pada bumi ini dan langit ini, tidak menganuti budaya alam jagat sebelah sini, mereka ibarat penyanyi atau penyair pujaan kaum mereka sendiri. Tidak lebih dari itu. Politik perkauman yang menyamar sebagai politik berbilang kaum tidak bakal membawa kita menuju Bangsa Malaysia.
Tuesday, October 7, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment