Monday, October 27, 2008

Sama tapi tak serupa

Selepas keluar dari UMNO, Tengku Razaleigh membentuk satu wadah perjuangan yang baru iaitu Parti Semangat 46. Beliau juga membuat satu kerjasama dengan parti pembangkang yang sedia ada, khususnya DAP dan PAS menerusi apa yang dikenali sebagai Barisan Alternatif. Seperti UMNO, Semangat 46 adalah parti politik orang Melayu. Anwar Ibrahim  nampaknya sedang menempuh jalan yang sama. Bedanya, Parti Keadilan adalah parti berbilang bangsa. Parti Keadilan kemudiannya bergabung pula dengan Parti Rakyat untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat. PKR juga menjalin satu kerjasama dengan DAP dan PAS menerusi apa yang kita kenali harini sebagai Pakatan Rakyat.


Barangkali ini yang dikatakan sama tapi tak serupa. Anwar nyata jauh lebih berkarisma. Pidatonya berjaya memukau ribuan pengikut. Namun Anwar juga lebih licik dan tega dalam percaturan politiknya. Sebaik keluar dari UMNO, Anwar segera berubah wajah. Dari imej seorang pendekar bangsa yang paling lantang memperjuangkan Ketuanan Melayu, Anwar muncul sebagai tokoh politik berbilang bangsa yang liberal dan sanggup berkompromi.   


Pendekatan politik berbilang bangsa ini adalah satu perhitungan politik yang bijak dan ternyata membawa tiga keuntungan besar dalam halatuju politik Anwar. Pertama, penyokong gerakan refomasi yang datang dari pelbagai kaum tidak merasa tersisih apabila mereka semua diterima dalam sebuah parti politik. Kedua, sekutunya dalam pembangkang khususnya DAP, merasa cukup selesa dengan sikap keterbukaan Anwar yang menerima baik konsep "Malaysian Malaysia" dan ketiga, UMNO pula kelihatan lebih perkauman di kalangan parti komponen BN. 

Kesanggupan Anwar berkompromi dalam memperjuangkan hak orang Melayu telah dilakukan dengan begitu hebat sekali sehinggakan orang Melayu bagaikan disihir, terus terpesona dengan omongan dan janji politiknya. Dalam masa yang sama, DAP muncul sebagai jaguh pejuang hak orang Cina dan India kerana berjaya mendapat tolak ansur yang lebih dari yang diperolehi oleh komponen parti BN. Pandangan umum ini berjaya mendapat perhatian media  dan terus menjadi tekanan di kalangan BN sendiri. Sementara itu Pakatan Rakyat digambarkan sempurna sebagai satu alternatif yang wajar dipertimbangkan.


Nada perwakilan di Perhimpunan Agung parti-parti komponen BN mencerminkan sentimen tidak puas hati terhadap UMNO. Berbagai celaan seperti "terlalu dominen", "angkuh", "perkauman", "pembuli", "orang Melayu juga kaum pendatang" dan sebagainya dilemparkan kepada UMNO. Ada juga usul yang menyarankan supaya semua parti-parti komponen dibubarkan dan ahli-ahlinya bergabung dalam sebuah parti BN yang berbilang bangsa. Harini UMNO dilihat oleh rakan-rakannya sendiri sebagai huduh dan jahat.          


Di sinilah sebenarnya perbedaan pendekatan politik Anwar dan politik Tengku Razaleigh. Yang satu sudah tidak lagi membicarakan tentang ruh Melayu dalam perjuangan politiknya sedangkan yang satu lagi tidak pernah pudar ruh Melayunya di luar maupun di dalam UMNO.


Kelemahan kepimpinan UMNO sendiri adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Terikut-ikut dengan rentak Anwar yang sering melaungkan seruan Barat ke arah keterbukaan, media arus perdana dan media siber bergandingan memaparkan "kepincangan" dalam BN yang seakan-akan sudah retak menanti belah. Bagaikan satu agenda yang tersembunyi, kerjasama di antara Pakatan Rakyat yang jauh lebih rapuh sengaja dilupakan.


Parti parti politik yang berkerjasama di dalam Pakatan Rakyat tidak mampu bertanding di bawah satu lambang sebagaimana BN. Jurang falsafah politik di antara DAP dan PAS adalah sangat besar. Anwar dan PKR memainkan peranan yang penting dalam mengimbangi kerjasama politik yang rapuh ini. Dalam usaha membawa ketiga-tiga parti ini kepada satu titik pertemuan, Anwar memusatkan perhatian kepada isu-isu seperti ISA, rasuah dan isu semasa seperti harga minyak dan kemelesetan ekonomi. 


Sungguhpun DAP melaungkan politik berbilang bangsa, masyarakat Melayu umumnya melihat parti ini sebagai sebuah parti orang Cina dan India yang kerapkali mempersoalkan ciri-ciri bangsa dan negara Malaysia yang berteraskan budaya Melayu. PAS pula, walaupun cuba memikat kaum-kaum Cina dan India, namun pada dasarnya adalah sebuah parti orang Melayu yang mahu mendirikan negara Islam. Tentangan keras DAP terhadap matlamat perjuangan PAS ini adalah sesuatu yang diketahui umum. DAP tidak mungkin akan menarik balik tentangannya terhadap hasrat penubuhan negara Islam oleh PAS. PAS pula tidak mungkin akan menggugurkan matlamatnya mendirikan negara Islam.


Untuk sementara waktu ini, Anwar berjaya berdiri di tengah sambil memimpin tangan DAP dan PAS di kiri dan kanannya dalam satu jalinan kerjasama politik yang rapuh. Tanpa orang tengah ini, pertembungan DAP-PAS adalah ibarat bom jangka yang boleh meletus bila-bila masa dan meranapkan Pakatan Rakyat. PKR sendiri sebagai sebuah parti politik banyak bergantung kepada karisma Anwar sebagai faktor penyatuannya.


Tidak seperti DAP atau PAS, PKR mempunyai keahlian yang berlatarbelakangkan berbagai ideologi. Ada kelompok yang berasal dari Parti Rakyat seperti Syed Husin dan Sivarasa, dan tidak menghairankan kalau mereka condong kepada sosialisme. Ustaz Badrul Amin dan Zulkifli Nordin yang bingkas mempertahankan Islam baru-baru ini, tentulah lebih mirip kepada Islam. Mereka yang asalnya dari UMNO seperti Azmin dan Saifuddin mungkin boleh disatukan dalam kelompok yang lain dengan Gobalakrisna dan Tian Chua kerana sama-sama mempelopori Gerakan Reformasi. Tanpa Anwar, PKR sendiri nampak tidak menentu dalam kiblat perjuangan mereka.


Dalam keghairahan Anwar memancing ahli-ahli Parlimen dari BN supaya menyertainya membentuk kerajaan baru, PAS telah melahirkan kebimbangan sekiranya majoriti ahli Dewan Rakyat yang menyokong Kerajaan Pakatan Rakyat kelak terdiri daripada bukan Melayu. Situasi ini boleh mendesak PAS dan UMNO supaya bergabung dalam satu kerjasama politik demi masa depan Melayu dan Islam. Natijahnya tentulah membawa kepada kancah politik negara yang benar-benar terbahagi atas dasar perkauman. Kalau sampai ini terjadi, keharmonian kaum dan pertumbuhan ekonomi yang mampan yang telah kita kecapi sejak merdeka mungkin akan hanya tinggal sejarah.


Seperti BN, Pakatan Rakyat adalah satu kerjasama politik. Sama tapi tak serupa. Pakatan Rakyat adalah satu kesefahaman yang longgar dan dibayangi oleh aspirasi perjuangan yang berbeda. Tanpa Anwar, Pakatan Rakyat dan PKR sendiri nyata rapuh. Pada usia 62 tahun, Anwar tak mungkin menongkat langit. Masa depan negara tidak harus disandarkan pada satu pakatan yang rapuh dan sementara.        

No comments: