Thursday, October 16, 2008

Pendatang di kampung halaman sendiri

Menurut cerita dongeng, susur galur Kesultanan Melaka kononnya berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Segantang iaitu sebuah daerah di pulau Sumatra. Guru Hang Tuah lima bersaudara juga yang bernama Sang Adi Putra diriwayatkan orang, berasal dari tanah jawa sementara Hang Tuah sendiri dikatakan berpindah sewaktu kecil mengikut bapanya Hang Mahmud datang ke Melaka dari Pulau Bentan. Puteri Gunung Ledang pula asal ceritanya adalah seorang puteri dari tanah jawa yang bernama Anjas Asmara dan kerana cintanya yang terhalang, merajuk hati lalu membawa diri menetap di Gunung Ledang.


Kajian sejarah turut menunjukkan arah perantauan yang serupa. Parameswara merupakan seorang putera dari Palembang yang melarikan diri ke Temasek sebelum mengasaskan Kesultanan Melaka. Salasilah Kesultanan Selangor bermula dari Raja Lumu iaitu putera dari Daeng Chelak yang berasal dari Bugis. Asal keturunan Yam DiPertuan Besar Negeri Sembilan pula seperti yang diketahui orang, datang dari Pagar Ruyung, di daerah Minangkabau. Malah orang Melayu umumnya merupakan generasi terkemudian dari sukukaum Jawa, Bugis, Minangkabau, Aceh, Banjar, Rawa dan berbagai lagi yang semuanya berasal dari seberang.


Dari cerita penglipur lara hinggalah fakta sejarah, dalam konteks kebangsaan harini, orang Melayu dan Raja-Raja kelihatannya seperti berasal dari Indonesia. Bertitik tolak dari sini, golongan yang mendakwa memperjuangkan politik berbilang bangsa cepat membuat kesimpulan, orang Melayu juga adalah kaum pendatang. Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe bukanlah sesuatu yang pertama kali. Ia pernah dibangkitkan oleh Lee Kuan Yew di Dewan Rakyat satu ketika dahulu dan diungkit oleh beberapa aktivis DAP. Namun mereka mungkin lupa bahawa seluruh nusantara ini, suatu ketika dahulu adalah alam jagat Melayu.


Sejarah Melayu ada mengesahkan bahawa Pasai telah dahulu memeluk Islam sebelum Melaka. Apabila timbul kekeliruan soal agama, persoalan tersebut dimajukan kepada ulamak-ulamak di Pasai untuk merungkainya sebelum dibawa kembali menghadap sultan Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan penjajah Portugis dalam tahun 1511, orang Melayu dari Johor telah bergabung tenaga dengan orang Aceh dalam usaha menawan semula Melaka. Selepas Melaka bertukar tangan kepada Belanda, orang Bugis pula yang berpengkalan di Riau beberapa kali menyerang Melaka sehingga pemimpin mereka Raja Haji gugur sahid dalam satu pertempuran di Teluk Ketapang, Melaka. Sharif Hidayatullah, salah seorang anggota Wali Sembilan yang diangkat menjadi sultan pertama di wilayah Ceribon, Pulau Jawa menurut riwayat pernah mengirim tentera lautnya dalam usaha membantu membebaskan Melaka dari Belanda.


Hubungan keluargaan melalui perkahwinan dan persaudaraan seagama menjadi teras kepada jalinan suatu keterikatan batin di antara pembesar alam melayu. Lagenda menceritakan Sultan Mansur Shah pernah berangkat ke Majaphit, di Pulau Jawa untuk berkahwin dengan Puteri Raden Galoh Candra Kirana iaitu anak kepada Raja Majapahit yang bernama Hayam Wuruk. Mubaligh besar Maulana Malik Ibrahim yang berperanan besar mengembangkan Islam di Pulau Jawa, sebelumnya telah berkahwin dengan puteri Raja Champa dan pernah bermukim di Pattani sebelum merentasi samudra untuk sampai ke Pulau Jawa. Apabila Melaka pula mengambilalih sebagai Serambi Mekah, Sunan Bonang dan Sunan Giri dari tanah Jawa menurut catatan dari Babad Tanah Jawi, pernah datang berguru di negeri itu.


Selat dan lautan yang mengalir di antara gugusan pulau-pulau dan Semenanjung Tanah Melayu di Nusantara sama sekali tidak menjadi penghalang kepada tumbuhnya satu peradaban alam melayu. Kesepakatan di antara penjajah seperti di rantau lain di seluruh dunia telah turut direncanakan di Nusantara. Dalam tahun 1824, Belanda yang tertekan dengan Perang Napoleon di Eropah telah menandatangani Perjanjian Hindia-Belanda dengan pihak Inggeris. Hasilnya Pulau Jawa yang di bawah jajahan Inggeris telah di tukar ganti dengan Melaka yang telah ditawan Belanda dari Portugis sejak tahun 1641. Orang Bugis yang berasal dari Pulau Sulawesi ketika itu muncul sebagai satu-satu kuasa peribumi, telah menyeberang sempadan yang digariskan penjajah sesama mereka untuk membantu pembesar Melayu di Kedah dan Perak dalam menghadapi serangan Siam. Namun kesan mendalam dari Perjanjian Hindia- Belanda ini membawa sehingga terbentuknya dua negara merdeka, Malaysia dan Indonesia seperti yang kita kenali harini.


Campurtangan Inggeris di Tanah Melayu selepas tahun 1824 sebenarnya menunjukkan pengiktirafan Inggeris sendiri terhadap kuasa Raja-Raja Melayu. Perjanjian yang ditandatangani di antara Raffle dan Sultan Johor, Francis Light dengan Sultan Kedah dan Perjanjian Pangkor dengan Sultan Perak umpamanya merupakan satu perakuan dari pihak Inggeris bahawa negeri-negeri Melayu ini sudahpun bertuan. Apabila Inggeris bersetuju memberi kemerdekaan kepada Malaya, salah satu dokumen yang dimeterai ialah satu perjanjian yang dikenali sebagai Federation of Malaya Agreement, 1957 di antara Persuruhjaya Tinggi British (bagi pihak Ratu British) dan Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957.


Sejarah penentangan campurtangan Inggeris di Tanah Melayu pula adalah kisah pahit getir rakyat tempatan yang berakhir di tali gantung seperti yang berlaku kepada Tok Janggut di Kelantan dan Datuk Maharaja Lela di Perak. Ada yang jadi buruan Inggeris dan terpaksa menyembunyikan diri seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah di Pahang dan ada juga yang dibuang daerah seperti yang terjadi ke atas Datuk Dol Said di Melaka. Pengorbanan pahlawan-pahlawan ini menyabung nyawa menentang penjajah Inggeris sebenarnya adalah kesinambungan dari satu perjuangan besar menentang penjajah umumnya di Nusantara. Pahlawan-pahlawan anti penjajah ini adalah nenek moyang orang-orang Melayu harini dan kepulauan Nusantara adalah kampungan halaman mereka. Memang mengguris hati apabila masyarakat Melayu yang berabad lama membina empayar dan beradaban, dan mempertaruhkan jiwaraga mempertahankan tempat tumpah darah mereka dikatakan pendatang di kampung halaman sendiri!


Inggeris tidak lupa akan sempadan yang diciptanya bersama Belanda berikutan perjanjian tahun 1824. Tambahan pula ada pemimpin dari kalangan orang Melayu yang dipelopori Ibrahim Yaakub, yang memperjuangkan kemerdekaan bersama Indonesia dalam semangat Melayu Raya. Menyadari hakikat ini, bantahan orang Melayu terhadap cadangan penubuhan Malayan Union yang memberi hak yang sama kepada semua penduduk Tanah Melayu ketika itu dan mengambilkira sokongan sebilangan mesyarakat Cina kepada perjuangan Parti Komunis Malaya, British akur dengan realiti semasa. Sebagai ganti, Persekutuan Tanah Melayu telah dibentuk yang kemudiannya menjadi asas kepada penubuhan sebuah negara Malaya yang merdeka.


Menyusul satu masyuarat yang diadakan di London dalam bulan Januari 1956, satu suruhanjaya Perlembagaan yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk. Mereka telah mengambilkira kepelbagaian latar belakang sejarah, ekonomi dan budaya rakyat negara ini sebelum memuatkannya di dalam cadangan mereka. Walau bagaimanapun Jawatankuasa Bertindak Tiga Pihak yang terdiri dari wakil British, wakil Raja-raja Melayu dan pihak Perikatan terpaksa ditubuhkan untuk memperhalusi lagi kesesuaian cadangan Suruhanjaya Reid. Selepas itu Perlembagaan Merdeka terpaksa melalui pengesahan Majlis Perundangan Persekutuan, Dewan Undangan Negeri-Negeri Melayu, Parlimen United Kingdom dan Ratu British.



Sepanjang 51 tahun merdeka, Perlembagaan Persekutuan menjadi paksi kepada kontrak sosial dan kerukunan hubungan kaum di negara ini. Malangnya segelintir golongan perkauman yang sering mendakwa memperjuangkan politik berbilang bangsa, kerapkali atas nama "semangat perlembagaan" memutar belitkan fakta dan mengungkit isu-isu yang sudah lama dipersetujui. Motif tuduhan Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negara ini, sebenarnya berunsur mencabar beberapa peruntukan yang sudah termaktub. Justru kenyataan khusus yang dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja yang melibatkan beberapa Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini adalah satu peringatan yang tepat pada masanya. Sekaligus kenyataan tersebut telah meletakkan duduk perkara sebenar.

No comments: