Walaupun setelah dijajah hampir 450 tahun, apabila merdeka kita telah mengambil pendekatan sendiri sebagai pedoman dalam hidup bermasyarakat. Faktor agama dan budaya yang pelbagai di dalam negara ini boleh mencetuskan persengketaan dan pertumpahan darah sesama kita. Menyadari hakikat ini, suatu kerjasama politik yang unik dan tersendiri telah diadakan dengan terbentuknya Parti Perikatan yang kemudiannya berkembang menjadi Barisan Nasional.
Kita tidak terikut-ikut arus politik kiri yang bertiup kencang ketika itu di negara-negara yang baru merdeka seperti Indonesia dan Burma yang menghakmilik kekayaan negara dan menentang pelaburan asing yang dianggap neokolonialisma. Namun kita juga tidak membuta tuli mengikut sistem dua parti ala Amerika ataupun Great Britain. Kita pakai acuan sendiri yang berjaya membawa kestabilan untuk sekian lama. Hasilnya negara kita berjaya dibangunkan dengan begitu pesat dengan prasarana antara yang terbaik di Asia.
Dalam bidang ekonomi, akibat kesan penjajahan yang "pisah dan perintah", kaum-kaum di negara ini dapat dikenalpasti melalui kegiatan ekonomi mereka. Orang Melayu kebanyakannya di luar bandar sebagai penanam padi dan nelayan, orang Cina di bandar sebagai peniaga dan pekerja lombong bijih sementara orang India sebagai pekerja di ladang-ladang getah. Dasar ekonomi kapitalis tulin dengan pasaran terbuka akan hanya membiarkan keadaan berpanjangan dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran gunatenaga.
Campurtangan pihak kerajaan dalam melancarkan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat serampang dua matanya iaitu menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum merupakan kebijaksanaan kita dalam menangani gejala ini. Meskipun berbagai tuduhan dilemparkan dari dalam dan luar negara, tidak dapat dinafikan bertitik-tolak dari DEBlah semangat muhibbah dan keharmonian kaum yang punah akibat trajedi 13 Mei telah dapat dipupuk semula.
Dalam pertengahan tahun 1997, kemelesetan ekonomi terjadi secara tiba-tiba berpunca dari angkara serangan penyangak matawang keatas matawang bhat. Beberapa bulan sebelum itu, pakar-pakar ekonomi barat termasuk dari IMF dan Bank Dunia memuji asas ekonomi kita yang diiktiraf kukuh. Kesan jangkitan dari bhat, nilai ringgit kita telah merosot dengan begitu mendadak dan keadaan panik terus mendorong penjualan ringgit di pasaran matawang. Keadaan ini seterusnya menjejaskan pasaran ekuiti dengan nilai saham di bursa merudum begitu teruk. Penjualan saham oleh pihak bank setelah peminjam gagal menambah nilai saham yang dicagarkan tambah memburukkan keadaan.
Formula yang dianjurkan oleh IMF ketika itu termasuk menaikkan kadar faedah pinjaman dan menyingkatkan hutang lapuk dari 6 bulan kepada 3 bulan menambah penderitaan golongan peniaga dan rakyat umumnya. Bantuan kerajaan kepada syarikat tempatan yang terjejas dikeji sebagai "bailout" kepada kroni. Malangnya ada juga rakyat negara ini yang ghairah menyokong saranan IMF dan Bank Dunia.
Tanpa menghiraukan cemuhan penyangak matawang, IMF, Bank Dunia dan negara-negara barat umumnya, kita mengambil langkah-langkah yang menyanggah nasihat mereka termasuk menggantung nilai pertukaran ringgit pada kadar yang tetap, menubuhkan Danamodal dan Danaharta serta menstabilkan kadar faedah dan mengembalikan tempuh hutang lapuk pada tempuh sebelumnya. Ternyata kebijaksanaan sendiri satu rahmat bagi rakyat negara ini.Di Indonesia dan Thailand umpamanya yang menurut telunjuk IMF dan Bank Dunia, kesengsaraan rakyat bertambah parah dan syarikat-syarikat tempatan dipaksa jual kepada pelabur asing.
Kini apabila satu demi satu bank di Amerika dan Eropah jatuh muflis, pekej penyelamat yang dikeji dahulu sebagai "bailout" tidakpun berbangkit. Peruntukan luar biasa sebanyak USD700 billion oleh kerajaan Amerika dikatakan mungkin tidak mencukupi sementara di Kesatuan Eropah, kerajaan Jerman, Britain, Peranchis, Belanda, Sepanyol, Portugal dan Austria telah sepakat untuk menyediakan dana yang jauh lebih besar sebanyak E1.7 trillion. Menoleh ke belakang, mujurlah kita tidak diperbodohkan!
Pendekatan kita dalam menjamin keselamatan dalam negara harini menerima cemuhan yang sama dari dalam dan luar negara. Akta Keselamatan Dalam Negeri dituduh sebagai zalim dan bertentangan dengan Undang-Undang Antarabangsa khususnya kerana ia membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara. Malangnya pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasionalpun terikut-ikut rentak yang dimainkan oleh orang luar dan kuncu-kuncu mereka di kalangan pembangkang.
Bahawa kita terdiri dari berbilang ugama dan budaya tidak menjadi masalah kepada penjajah Inggeris. Malah merekalah yang mencorak sebegitu rupa demi kepentingan ekonomi mereka. Justru, ISA diperkenalkan Inggeris bertujuan untuk membenteras kegiatan komunis yang mengangkat senjata berjuang untuk menubuhkan sebuah negara komunis. Tektik perjuangan komunis mensabotaj prasarana dan kerukunan hidup bermasyarakat dianggap wajar untuk ditahan dibawah ISA.
Di Britain sekitar tahun darurat 1948-1960 terdapat juga Parti Komunis yang dibenarkan mengambil bahagian dalam arena politik di sana. Mereka berjuang mengikut lunas undang-undang seperti Parti Buruh dan Parti Konservatif. Ini bererti yang diperangi di negara ini ialah tektik komunis yang mensebotaj negara dan bukannya fahaman Karl Marks yang kemudiannya dikembangkan oleh Lenin.
Amerika dan dunia barat yang sering mencemuh ISA kononnya hanya wajar digunakan dalam memerangi ancaman komunis, sekali lagi berlagak "cakap tak serupa bikin" apabila dikejutkan dengan trajedi 11 September. Mustahil puak Al Qaeda yang mereka perangi habis-habisan menganut fahaman komunis! Bagaimanapun oleh kerana keselamatan negara mereka terancam, mereka boleh pula memperkenalkan Patriot Act dan menahan sesiapa yang disyaki pengganas tanpa bicara.
Pengkagum dunia barat yang lantang menjuarai hak asasi manusia kini berbelah bagi diantara yang menuntut ISA dihapuskan dan mereka yang mengakui kewajarannya dalam menangani masalah komunis dan pengganas. Isu perkauman dan ugama yang mencetuskan perbalahan dibeberapa negara seperti Bosnia, India dan Sri Langka barangkali belum menggamit perhatian mereka.
Kesilapan kadang-kadang disengajakan apabila soal keselamatan dalam negeri dilihat dari sudut perundangan semata-mata. Dalam kes bunuh atau rogol umpamanya, kecuaian pihak pendakwa dalam soal-soal teknikal boleh mengakibatkan penjenayah dibebaskan. Kalau sampai ini yang terjadi dalam kes keselamatan dalam negeri, adalah dibimbangi kaum-kaum yang berbalah akan meletakkan undang-undang dalam tangan mereka sendiri.
Kestabilan yang kita kecapi selama ini boleh tergugat sekiranya timbul situasi di mana keadaan sudah di luar kawalan pihak polis, namun Yang Arif berpendapat ianya belum lagi sampai ke tahap yang mengancam keselamatan negara. Justru, betapa hebat sekalipun seorang hakim dalam mentafsir undang-undang di dalam kamarnya, soal samada satu tindakan yang dilakukan itu merupakan ancaman kepada keselamatan negara ataupun tidak, wajarlah ditentukan oleh pihak yang berwajib.
Demikianlah, pengalaman sejak merdeka mengajar kita bersikap terbuka dalam mempelajari peradaban luar untuk disesuaikan dengan keadaan di dalam negara. Bagaimanapun pengalaman juga mengajar kita untuk tidak telan bulat-bulat apa yang disarankan barat kerana apabila tiba masanya mereka boleh berdalih untuk tidak mengikuti apa yang mereka sendiri sarankan.
Sunday, October 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment